Menang cemerlang PRU12, ribuan rakyat Kelantan solat hajat
Lanjusoh
KOTA BHARU (Hrkh) Ribuan rakyat Kelantan menunaikan solat hajat tanda kesyukuran di atas kemenangan cemerlang PAS dan KeADILan di Kelantan pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu.
Solat hajat itu diimamkan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaik selesai kuliah mingguannya di Medan Ilmu, Jalan Dato’ Pati dekat sini.
Solat hajat itu diadakan di atas jalan di bawah khemah khas yang disediakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.
Orang ramai bersesak-sesak di bawah khemah untuk menunaikan solat sunat tersebut sebagai tanda kesyukuran yang tidak terhingga di atas kemenangan diberi Allah Taala pada pilihan raya umum Sabtu lalu.
Khemah yang terletak di hilir Pejabat Perhubungan PAS Kelantan dipenuhi golongan muslimat untuk sama-sama menunaikan solat hajat.
Turut kelihatan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Takiyuddin Hassan, Adun Bukit Panau, Abdul Fattah Mahmood, Adun Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi, Adun Tendong, Dr Mohamad Mohd Daud, Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad.
Selain itu anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar dan Senator Mumtaz Mohd Nawi.
Kuliah hari ini merupakan yang pertama selepas kerajaan baru bagi penggal ke-12 dibentuk setelah PAS memenangi 38 kerusi Dun dan sembilan Parlimen.
Manakala KeADILan pula menang di sebuah kerusi Dun iaitu di Guchil dan tiga parlimen (Machang, Tanah Merah dan Ketereh). - mj
Tiada ulasan:
Catat Ulasan