HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Mac 2008

Nurul enggan ulas sama ada kosongkan kerusi untuk Anwar


KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar yang memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai, mengelak menjawab soalan sama ada beliau akan mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada bapanya yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil alih.

"Keputusan ini adalah kemenangan saya dan saya rasa anda wajar memberi saya peluang untuk meraikan kemenangan ini dan merancang masa depan penyokong saya," katanya kepada pemberita selepas pengumuman rasmi kemenangan beliau pada pukul 2.20 pagi di Kompleks Sukan Bangsar di sini.

Ibunya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertanding di kawasan Parlimen Permatang Pauh, sebelum ini berkata beliau akan memberi laluan kepada suaminya, jika menang.

Nurul Izzah, 27, mengalahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil, penyandang kerusi itu selama tiga penggal, apabila mengumpul 21,728 undi berbanding 18,833 yang diperoleh Shahrizat.

Kira-kira 7,000 penyokong berkumpul di kompleks itu sejak 7.30 malam untuk mengikuti proses penjumlahan undi itu.

Shahrizat kemudiannya mengucapkan tahniah kepada Nurul Izzah dan berpesan supaya beliau meneruskan usaha untuk menjaga penduduk Lembah Pantai. BERNAMA

Tiada ulasan: