Pak Lah nafi Khairy faktor pencapaian buruk BN
Oleh SA'ODAH ELIAS
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan bahawa pencapaian paling buruk Barisan Nasional pada pilihan raya umum Sabtu lalu adalah disebabkan oleh faktor Khairy.
Abdullah yang juga pengerusi BN berkata Khairy tidak mempengaruhi sebarang tindakan yang diambilnya dan jika ada pandangan dan pendapatnya yang bersamaan dengan keputusan kerajaan, ia adalah suatu kebetulan.
"Saya kasihan pada Khairy kerana hubungannya dengan saya telah menyebabkan timbulnya persepsi seperti ini," demikian kata Abdullah Isnin, ketika mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuduh Khairy sebagai salah satu punca menyebabkan pencapaian BN merosot teruk pada pilihan raya umum ke-12.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat dewan tertinggi BN di Menara Datuk Onn di sini. Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno.
Abdullah berkata, Khairy tidak pernah berkata padanya "Baba, tolong terima ini.
Cadangan ini mesti dilaksanakan".
Khairy, katan Abdullah, tidak pernah berkata begitu kepadanya.
Bagaimanapun, katanya sebagai Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy adalah seorang penceramah yang aktif dan kerap menyatakan pandangannya tentang pelbagai perkara melibatkan dasar-dasar kerajaan.
Semua pihak, katanya, bebas memberikan pandangan dan seperti ramai yang lain, Khairy juga secara terbuka memberi kenyataan yang kerap dilaporkan oleh media.
"Dia aktif bercakap pada perhimpunan agung Umno. Anda pun tahu. Tetapi, tidak bermakna bila dia bercakap mengenai dasar kerajaan, maka ia adalah dasar yang dicadangkannya," tegas Abdullah lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan