Penangan 'Warkah untuk PM'
ALOR STAR - Seorang peniaga tidak menyangka aduannya yang dihantar melalui laman web 'Warkah untuk PM' mendapat perhatian Ketua Polis Kedah yang terus turun padang mendengar masalah yang dihadapinya semalam.
Peniaga sebuah kedai farmasi, Teoh Kwai Chun, 52, telah menghantar aduan ke laman web tersebut apabila mendakwa kedainya menjadi sasaran pencuri dua hari berturut-turut pada 17 dan 18 Februari lalu.
Katanya, dalam tempoh dua hari itu, dia mengalami kerugian hampir RM5,000.
Menurutnya, dia yang terlalu geram dengan kejadian itu menghantar aduan ke laman web tersebut hujung minggu lepas.
"Saya geram bukan saja kedai saya kena (pecah masuk), sederet kedai ini juga kena, setiap bulan mesti ada pencuri masuk, sekarang sebagai langkah keselamatan saya pakai alat penggera," jelasnya ketika ditemui Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, semalam.
'Warkah untuk PM' adalah pendekatan terbaru Barisan Nasional dalam memahami dan mengetahui apa sahaja permasalahan serta isu-isu yang dikemukakan oleh rakyat.
Rakyat boleh melakukannya melalui laman web www.warkahuntukpm.com. my.
Menurut Kwai Chun, dia dan peniaga lain juga berniaga dalam ketakutan apabila ramai penagih dadah berlegar-legar di belakang kedai mereka dan jumlah mereka semakin bertambah.
"Kami nak berniaga pun tak senang, depan dan belakang kedai ada ramai penagih dadah dan saya sudah tak tahan lagi apabila dimasuki pencuri dua hari berturut-turut itu.
"Ini bukan kali pertama berlaku sejak berniaga 30 tahun di sini, dah banyak kali penagih di sini buat kacau," jelasnya.
Sementara itu, Syed Ismail yang datang sendiri ke kedai Kwai Chun mendengar aduan tersebut berjanji akan mengambil tindakan segera terhadap masalah yang membelenggu peniaga di situ.
"Saya telah terangkan kepadanya bahawa suspek yang pecah masuk kedainya telah ditahan reman dan dia tak perlu bimbang lagi dengan keselamatan di sini kerana tindakan telah diambil".
"Peniaga di sini jangan risau, anggota kami sentiasa menjaga keselamatan mereka termasuk polis berpakaian preman," tambahnya pada sidang akhbar selepas mengunjungi Kwai Chun di Batu 1, Jalan Langgar di sini semalam.
Jelas beliau, sebarang aduan terhadap jenayah di sekitar Kedah, orang ramai boleh menghantar di talian Rakan Cop dan hotline Polis Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan