HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Mac 2008

Presiden MCA enggan dilantik sebagai anggota kabinet


KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini mengesahkan beliau akan menolak sebarang tawaran bagi menganggotai semula Kabinet atau memegang sebarang jawatan dalam kerajaan kerana ingin memperhambakan diri sepenuhnya bagi membina semula dan membuat pembaharuan dalam MCA berikutan prestasi buruk parti itu pada pilihan raya umum Sabtu lepas.

"Saya bertanggungjawab bagi kekalahan sebahagian besar calon MCA pada pilihan raya umum baru-baru ini yang berpunca daripada pelbagai sebab.

"Bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat mendesak berikutan perkembangan terbaru dalam politik ini, saya membuat keputusan untuk tidak menawarkan diri bagi memegang sebarang jawatan Kabinet atau menyandang sebarang jawatan dalam kerajaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada pilihan raya umum ke-12, MCA bertanding bagi 40 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri, tetapi hanya memenangi masing-masing 15 dan 31 daripadanya serta kalah semua kerusi yang ditandinginya di Pulau Pinang kepada DAP.

Pada pilihan raya umum 2004, MCA bertanding bagi jumlah kerusi yang sama dan memenangi 31 kerusi Parlimen serta 76 kerusi negeri.

Ong berkata beliau akan memberi tumpuan penuh terhadap usaha membina semula, memperkasakan kembali dan menyusun semula MCA untuk menjadikan parti itu terus relevan kerana ini merupakan tugas yang perlu dilakukan, walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.

"Parti ini akan terus menjamin keadilan bagi semua rakyat Malaysia. Saya ingin menggesa semua anggota parti supaya bertenang dan bersatu dalam menghadapi waktu sukar ini," katanya.

Dalam kenyataan enam perenggan itu, Ong berkata rakyat Malaysia telah menyuarakan dengan lantang serta menghantar mesej yang jelas dan beliau memahami "perasaan serta kekecewaan rakyat tentang pelbagai isu.

"Berdasarkan penemuan awal berhubung pilihan raya ini, kami memahami ketidakpuasan hati dan kekecewaan mereka tentang banyak isu.

Semua ini telah menyumbang kepada kekalahan banyak calon Barisan Nasional pada pilihan raya berkenaan," katanya.

Ong berkata parti itu akan meneliti pandangan dan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat secara serius dan sebagai parti yang bertanggungjawab, MCA akan peka terhadap apa yang disuarakan oleh rakyat Malaysia.

Pada mesyuarat Dewan Tertingginya semalam, Barisan Nasional (BN) mengarahkan agar satu bedah siasat bebas dilakukan bagi mencari punca kekalahan teruk yang dialaminya di lima negeri dan beberapa kawasan lain serta berikrar akan bertindak segera bagi merawat BN agar parti gabungan itu kembali mendapat keyakinan rakyat. BERNAMA

Tiada ulasan: