Rafidah tidak tahu nasibnya dan wanita Umno dalam kabinet
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini berkata beliau tidak mengetahui nasibnya serta peluang pemimpin wanita Umno dalam barisan kabinet baru kerajaan dan sehubungan itu enggan mengulas lanjut perkara itu.
Sebaliknya, Rafidah berkata bahawa sebarang keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dihormati
"Soal menteri, soal kabinet tidak ada kita sentuh langsung (dalam mesyuarat). Bukan cerita kita, ini cerita Perdana Menteri.
Soal kabinet tak payah tanya la, saya tak akan jawab. Nasib saya pun, saya tak tahu lagi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas pergerakan itu di sini.
Semalam, Perdana Menteri berkata barisan kabinet baru akan mengadakan mesyuaratnya yang pertama pada Rabu depan, membayangkan barisan itu akan diumumkan seawal Isnin minggu depan.
Rafidah berkata pada mesyuarat itu Wanita Umno sekali lagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan Umno dan Abdullah bagi memulihkan semangat parti.
Katanya wanita Umno bertekad untuk bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan parti itu pada masa depan.
Selain itu, Rafidah menyarankan kaedah banci sikap di kalangan pengundi yang dijalankan Wanita Umno sebelum pilihan raya umum diperluaskan kepada setiap parti komponen Barisan Nasional (BN) lain supaya ia meliputi semua kaum bagi membantu mengenalpasti sikap pengundi semua kaum.
"Sebelum ini kita hanya banci sikap di kalangan pengundi Melayu dan kita tahulah di kalangan mereka siapa hitam, siapa putih dan siapa kelabu," katanya.
Menurutnya walaupun keputusan banci itu tidak tepat tetapi ia dapat membantu parti dalam membuat strategi.
Rafidah yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimennya di Kuala Kangsar berkata sikap pengundi pada pilihan raya umum yang lepas sukar difahami kerana walaupun BN meletakkan calon terbaik, pengundi masih menolaknya.
Menurutnya pengundi kali ini mudah terpengaruh dengan banyak isu yang dibangkitkan oleh pembangkang. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan