HALAMAN SANTAI

Isnin, 17 Mac 2008

"Saya adalah Menteri Besar bagi semua rakyat" - Ir Mohamad Nizar
Johari Jaafar


IPOH (Hrkh) - "Saya adalah Menteri Besar kepada semua rakyat di negeri ini tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan ideologi, kerana itu saya akan memastikan tidak akan ada diskriminasi dalam perjalanan pentadbiran kerajaan rakyat."

Beliau menegaskan tindakan tegas dan sewajarnya sekiranya terdapat amalan diskriminasi dan polarisasi sama ada kenaikan pangkat, projek-projek pembangunan, agihan bantuan dan sebagainya.

Demikian ditegaskan oleh Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohamad Nizar Jamaludin, dalam sidang media pertamanya selepas upacara mengangkat sumpah Menteri Besar.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan yang dipilih sekarang ini bukannya Kerajaan PAS, atau DAP mahupun PKR, sebaliknya ianya kerajaan rakyat.

Sambil tidak menafikan peranan kerajaan yang terdahulu, sekali gus mengucapkan terima kasih kepada Dato' Seri Tajul Rosli Ghazali, yang telah membangunkan negeri ini, beliau turut memberi jaminan mana-mana dasar dan amalan pentadbiran kerajaan yang terdahulu akan diteruskan sekiranya masih memberikan kebaikan kepada rakyat dan negeri ini.

Namun begitu kerajaan campuran akan mengkaji dan menstruktur semula mana-mana yang diperlukan demi kebaikan rakyat.

"Saya amat mengalu-alukan pandangan positif dari Tajul Rosli dan rakan-rakan dari Adun BN sama ada dalam sidang Dewan Undangan Negeri atau di waktu-waktu yang lain, pejabat saya sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana Adun BN bagi memberikan pandangan untuk membangunan negeri ini," ujar beliau.

Menurut beliau lagi, keutamaan dan tumpuan beliau adalah kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan melaksanakan tawaran-tawaran yang dikemukakan BA dan DAP yang dikemukakan kepada rakyat pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini serta akan meneruskan projek-projek dan pelan pembangunan yang dirangka oleh Kerajaan BN terdahulu sekiranya memberi faedah kepada rakyat. - mns

Tiada ulasan: