HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Mac 2008

"SPR jangan buat perangai 2004" PAS
Oleh Bernama


KL: PAS hari ini meminta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memastikan proses pengundian berjalan lancar dan keadaan kelam kabut semasa pilihan raya 2004 tidak berulang pada hari pengundian esok.

Ketua Sekretariat Media Pilihan Raya Umum PAS, Roslan Mohd Shahir berkata sebagai badan bebas yang dipertanggungjawabkan, SPR perlu memastikan proses demokrasi berjalan dengan adil.

"PAS harap tidak ada lagi kes daftar undi yang berbeza antara yang dikeluarkan kepada parti bertanding dengan yang digunakan oleh SPR. Kecelaruan yang mengakibatkan keraguan dan huru-hara menjejaskan proses demokrasi.

"Ini menyebabkan ada di kalangan pengundi tidak dapat mengundi atau terus tidak mengundi. Ini berlaku pada pilihan raya 2004 khasnya di Selangor," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PAS di sini.

Beliau juga berharap tidak ada lagi arahan-arahan tidak masuk akal dan menyalahi undang-undang seperti melanjutkan tempoh mengundi sebagaimana yang berlaku di Selangor pada 2004.

Roslan yang juga setiausaha akhbar Presiden PAS meminta rakyat yang berdaftar sebagai pengundi keluar mengundi beramai-ramai esok bermula pukul 8 hingga 5 petang.

"Pilihan raya adalah satu-satunya gelanggang yang memberi peluang kepada rakyat bersuara khususnya dalam memilih wakil dan pemimpin yang akan mewakili dan memimpin mereka," katanya.

Di KLANG, MCA Selangor turut berharap SPR lebih berhati-hati esok bagi memastikan insiden 2004 tidak berulang dan pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dalam suasana yang tenang tanpa sebarang kesulitan.

Pengerusinya Datuk Ch'ing Toh Eng mengingatkan semula kekecohan yang berlaku di 56 daerah mengundi di Selangor pada 2004 apabila sebahagian nama pengundi tiada dalam daftar pemilih menyebabkan masa mengundi terpaksa dilanjutkan selama dua jam.

Pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing pula terpaksa dibatalkan kerana silap cetak lambang Parti Keadilan Nasional pada calon PAS.

Berikutan itu, SPR mengadakan pilihan raya semula untuk kawasan berkenaan pada 28 Mac tahun itu.

"Kawalan keselamatan juga diharap diperketatkan lagi untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku memandangkan masing-masing bersemangat untuk menarik perhatian pengundi," katanya semasa ditemui mengadakan pertemuan dengan jentera penyokong MCA di situ.

Ch'ng sebelum ini adalah penyandang kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dan kali ini bertanding di kawasan Parlimen Klang dengan dicabar calon DAP Charles Anthony.

Tiada ulasan: