Syabas tunggu cadangan kerajaan negeri Selangor untuk air percuma
KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan menunggu perkembangan selanjutnya cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membekalkan 20 meter padu air pertama secara percuma kepada semua isi rumah di negeri itu mulai bulan depan.
"Kita tunggu dan lihat. Perkara ini masih di bawah semakan semula oleh kerajaan negeri. Jadi kami tidak mahu membuat sebarang ulasan," kata Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som kepada wartawan di sini, Selasa.
Katanya Syabas akan meneruskan perkhidmatannya kepada orang ramai dan akan berusaha menambah baik lagi kualiti air.
Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim membuat dua pengumuman penting iaitu 20 meter padu air yang pertama adalah percuma bagi semua isi rumah di Selangor mulai bulan depan dan satu semakan semula dilakukan ke atas perjanjian loji rawatan air antara Puncak Niaga Holdings Bhd dan kerajaan negeri sebelumnya.
Bagaimanapun, konsesi air percuma akan dibincangkan dahulu oleh Exco Kerajaan Negeri sebelum ia boleh dilaksanakan dan ia adalah untuk memenuhi janji kempen pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), katanya.
Tiada caj dikenakan untuk 20 meter padu air pertama adalah sebahagian dari manifesto PKR dalam pilihan raya umum baru-baru ini. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan