Laluan Ezam di Umno bukan mudah
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd Noor ke dalam Umno pada Rabu lalu diramal berhadapan dengan 'konflik' ekoran wujudnya pandangan berbeza di kalangan ahli-ahli Umno.
Pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, penyertaan semula Ezam secara tidak langsung bakal mencetuskan konflik dalaman dalam Umno.
Sehingga kini, jelas beliau, secara rawak tidak semua ahli Umno menerima kemasukan Ezam dengan hati terbuka.
“Bila Ezam hendak masuk semula dalam Umno, Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) kata OK. Tapi lain pula reaksi yang diberikan oleh Muhyiddin (Tan Sri),” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Dua situasi tersebut sebenarnya sudah cukup untuk menggambarkan wujudnya pertikaiaan mengenai kemasukan Ezam.
“Masalahnya dia (Ezam) pernah menjadi orang kuat PKR yang cukup lantang mengkritik Umno... jika ahli biasa PKR yang nak masuk Umno, saya tak fikir akan wujudnya masalah,” jelasnya.
Lebih menimbulkan keraguan ialah kaedah yang digunakan Ezam untuk masuk semula menjadi ahli Umno.
Ahmad Atory berkata kaedahnya cukup berbeza sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menyertai Umno Baru ketika zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Presiden Umno.
“Anwar mengikut saluran dan laluan yang betul iaitu bermula dari bawah, isi borang macam ahli biasa. Ini tidak! Baru hendak masuk Umno terus dapat jumpa Pak Lah. Ini boleh mewujudkan perasaan tak senang hati di kalangan ahli lain,” katanya lagi.
Ditanya sama ada kemasukan Ezam akan memberi kesan kepada Umno atau tidak, beliau berkata, kesannya akan wujud apabila tibanya masa pertandingan dalam parti Disember ini.
Walaupun Ezam berkata beliau tidak akan bertanding merebut jawatan dalam pemilihan parti tahun ini, sedikit sebanyak kehadirannya akan membantu pihak-pihak tertentu untuk memenangi jawatan.
“Dia (Ezam) boleh dianggap sebagai aset kepada pihak tertentu untuk membantu mereka meraih undian kerana ramai lagi kawan-kawan dia dalam Umno,” kata Ahmad Atory.
Sementara itu Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Agus Yusoff berpendapat kesan kemasukan semula Ezam ke dalam Umno akan dapat dilihat jika beliau boleh membantu untuk memulihkan Umno dari dalam.
“Dia perlu buktikan bahawa dengan kemasukkannya boleh membawa perubahan positif dari dalam parti agar Umno menjadi lebih demokratik, kembali memperjuangkan hak rakyat, ubah sistem pilihan raya sedia ada yang meragukan serta menaikkan semula imej sistem kehakiman,” katanya.
Mohd. Agus berkata, mulai sekarang Ezam mempunyai cabaran yang cukup besar untuk berhadapan dengan ahli Umno dan juga rakan-rakan lamanya dalam PKR.
“Cabaran untuk Ezam ialah jika dia tak berjaya bantu bawa perubahan dalam Umno, dia akan jadi bahan ketawa semua orang sama ada PKR mahupun ahli Umno sendiri,” jelasnya.
Diminta mengulas mengenai cakap-cakap yang mengatakan kemasukan Ezam ke dalam Umno menggambarkan PKR sudah hilang kepercayaan penyokongnya, Mohd. Agus bagaimanpun menyangkal dakwaan itu.
“Saya tidak melihat PKR telah hilang kepercayaan rakyat kerana dalam politik macam-macam perkara boleh berlaku, ia akan berubah mengikut masa dan situasi.
“Kalau hari ini kita lihat Ezam masuk Umno, tak mustahil esok akan ada juga ahli Umno yang masuk PKR,” katanya.
Mengambil contoh Dr. Mahathir yang sebelum ini mendaftar sebagai ahli seumur hidup dalam Umno juga bertindak keluar pasrti, maka tidak mustahil perkara seumpama itu akan terus berlaku.
Baginya persoalan sama ada penyertaan Ezam dalam Umno adalah sebagai strategi politik, beliau berpendapat, soal itu tidak timbul.
“Perkara ini (masuk Umno) berlaku kerana dia merasakan perjuangan PKR tidak lagi sesuai untuk dia. Jadi dia pilih Umno kerana baginya melalui Umno pembaharuan untuk kepentingan rakyat dapat dilakukan,” katanya.
Ketika ditanya pandangan melalui pemerhatiannya dalam arena politik semasa yang boleh disimpulkan bahawa PKR sudah tidak lagi relevan, Mohd. Agus berkata “Tidak... saya tak katakan PKR tak relevan.”
Reaksi berbeza pula diberikan oleh Pengarah Institut Kajian Etnik, UKM, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang berpendapat isu Ezam kembali menyertai Umno adalah perkara biasa.
“Perkara keluar masuk parti ini bukan sesuatu yang baru, dulu pun ramai juga yang keluar Umno masuk Semangat 46. Kemudian bila dah hilang semangat, mereka masuk semula ke Umno,” katanya.
Beliau menyifatkan kembalinya Ezam menyertai Umno seolah-olah menggambarkan keadaan politik Malaysia yang boleh diibaratkan seperti "monyet yang suka melompat-lompat."
“Hari ini dia suka... dia masuk, esok dia dah tak suka dia ambil keputusan keluar parti sesuka hati. Tiada siapa boleh halang," katanya.
Jelas beliau, situasi seumpama itu secara tidak langsung dapat mensensasikan parti politik seperti Umno dan PKR yang sentiasa aktif serta tidak pernah ‘sunyi’ dari sebarang isu.
Bagaimanapun beliau beranggapan perbincangan sama ada Ezam bakal membawa perubahan atau tidak dalam Umno, sukar menemui jawapan yang tepat.
“Rasanya tak perlu kita meneka kesan atau perubahan yang mungkin terjadi bila Ezam masuk Umno. Lebih baik tunggu dan lihat sahaja kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku dalam politik,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan