Kes Mukhriz, Mahathir tidak berapa percaya lembaga disiplin Umno
Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa beliau tidak berapa percaya dengan kredibiliti Lembaga Disiplin Umno mengendalikan kes-kes laporan disiplin parti.
"Saya tidak berapa percayai sangat dengan (Lembaga) Disiplin Umno ni, dulu kita bagi keterangan ( kes Umno Kubang Pasu) kepada mereka ada sogokkan wang supaya saya kalah, orang itu sendiri bagi bukti...is no case," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu ulasannya berhubung kes anaknya, Dato' Mukhriz Mahathir yang dibawa ke lembaga disilpin Umno sewaktu ditanya wartawan dalam satu program semalam.
"Jadi, itu dia nak buat apa, ikut kehendak Presidenlah kalau Presiden benci pada Mukhriz ambil tindakan kepada Mukhriz, jangan ambil tindakan pada Zaid Ibrahim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) kerana Zaid adalah ahli Umno yang terbaik.
"Kerana disingkir dari Umno oleh jawatankuasa itu juga dan tidak ada peluang untuk bertanding dan ada 'suspicion' dia (Zaid) sokong parti lawan (dalam pilihan raya umum ke-12) itu adalah 'qualification' untuk menjadi menteri dalam kerajaan termasuk orang yang kalau ada duit dua tiga juta bawa dalam beg pergi ke Australia, untung dapat jadi menteri," ujar Mahathir sinis.
Mahathir juga dengan sinis berkata, "ada seorang dari Baling jadi Timbalan Menteri...berkempen untuk parti lawan, ini semua'qualification'...saya harus ingatkan ahli-ahli Umno, kalau nak jadi menteri sokong parti lawan ataupun buat kerja yang tak betul."
Sejak Mahathir keluar dari Umno, beliau tetap meneruskan kritikannya kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Lebih hangat apabila, Tun Mahathir sendiri mengingatkan kepada ahli Umno untuk terus mengkritik kepimpinan dan mendesak Presiden Umno (Abdullah) melepaskan jawatan untuk memulihkan kembali Umno.
Anaknya (Mukhriz), walaupun tidak menyertai Mahathir keluar Umno, namun cukup lantang mengkritik kepimpinan Abdullah termasuk menggunakan platform Dewan Rakyat.
Akibatnya Mukhriz bakal dihadapkan kepada Lembaga Disiplin Umno. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan