HALAMAN SANTAI

Khamis, 1 Januari 2015

2015: Tahun politik matang, lebih bertanggungjawab

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Sempena tahun 2015, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali menyeru semua kepimpinan mengamalkan politik lebih matang dan bertanggungjawab.

Beliau dalam perutusannya berkata, wacana baru itu penting memandangkan tahun 2015 dijangkakan Malaysia akan bergelut dengan cabaran ekonomi yang getir.

Katanya, kesulitan ekonomi sering menimbulkan rasa tidak selamat golongan tertentu, konflik sosial dan ketegangan politik.

“Anasir pelampau, golongan fasis dan opportunis akan mengeksploitasi suasana ini dengan menampilkan diri mereka sebagai juara kumpulan dan kaum," ujarnya dipetik Selangor Kini.

Kata beliau, persoalan dan cabarannya adalah kepada elit kepimpinan sama ada mereka bersedia meninggalkan politik sempit perkauman, politik adu domba untuk mendapat sokongan sementara dan mendiskriminasi rakyat berdasarkan fahaman politik.

Tambahnya, rakyat tidak mahu sikap tuding menuding, sebaliknya mereka mahu pemimpin membina keyakinan untuk menyegarkan kembali semangat toleransi, keluar dari pemikiran sempit melalui pencerahan dan mematangkan demokrasi.

Pada masa sama, beliau menyifatkan tahun 2014 sebagai tahun yang benar-benar menguji negara dengan pelbagai tragedi dan malapetaka yang datang bertubi-tubi.

Bagaimanapun, katanya, rakyat Malaysia berjaya membina tali persaudaraan kemanusiaan yang merentasi kaum, agama dan pendirian politik dalam menghadapi masa hitam bersama.

Tiada ulasan: