HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Januari 2015

DAP bermain api dalam sekam

 
Gagasan tersebut boleh mencetuskan suasana tidak stabil serta melebarkan lagi jurang dalam masyarakat pelbagai kaum.


DAP penang1


PETALING JAYA: Sikap Kerajaan DAP Pulau Pinang yang beriya-iya mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan (PBT) menjadi api dalam sekam kepada perpaduan masyarakat Malaysia, menurut akhbar Utusan Malaysia.

Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Awang Selamat di akhbar itu menyatakan, sebarang idea seumpama itu merupakan percubaan menafikan peranan dan penglibatan semua kaum yang menjurus kepada polarisasi dan ketegangan kaum.

Menurutnya, pilihan raya PBT yang diperjuangkan oleh DAP tidak akan menyumbang kepada penghayatan kepada semua kaum untuk berganding bahu memainkan peranan dalam pembinaan negara atau negeri.

“Pas menyanggah rancangan parti itu untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang dengan pendirian bahawa gagasan tersebut boleh mencetuskan suasana tidak stabil serta melebarkan lagi jurang dalam masyarakat pelbagai kaum,” tulis Awang Selamat yang menyokong pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi dalam ruangan mingguannya di akhbar rasmi PAS, Harakah menolak cadangan DAP memperkenalkan pilihan raya DAP sambil mengingatkan, ia membawa kepada pemisahan kaum dan mencetuskan semula peristiwa 13 Mei.

Menurut Awang Selamat, perjuangan DAP ini hanya memberi keuntungan kepada kaum Cina yang merupakan majoriti di kawasan bandar dan menambah: “Tidak salah kalau dikatakan apa yang diperjuangkan DAP dalam hal itu adalah kerana melihat faedahnya besar kepada kaum Cina.”

Menurut akhbar itu, langkah DAP itu juga hanya untuk kepentingan jangka pendek dan parti itu kerana “Perjuangannya tidak melihat kepada hakikat bahawa masyarakat berbilang kaum perlu terus diasuh berpadu dalam semua aspek kehidupan sebagai kunci keharmonian dan kelangsungan hidup rakyat negara ini.”

Tiada ulasan: