SHAH ALAM – Pusat pengumpulan bantuan banjir #KITALAHMALAYSIA Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf akan terus beroperasi selagi masih menerima barangan untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir.
Pengarah pusat pengumpulan tersebut, Izahar Atan berkata, pihaknya bertanggungjawab memastikan bantuan yang diterima sampai ke tangan mangsa secara langsung.
“Pusat ini akan terus beroperasi selagi ada barangan yang kita terima. #KITALAHMALAYSIA adalah untuk menyalurkan barang-barang ini dan memastikan barang-barang ini sampai kepada mangsa secara langsung.
“Program ini akan berkekalan. Tidak akan tamat sampai bila-bila. Selagi barang ada, kita akan teruskan,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, #KITALAHMALAYSIA hari ini lebih memfokuskan kepada pengumpulan barangan daripada pihak-pihak tertentu serta individu sebelum meneruskan proses penghantaran ke lokasi-lokasi yang telah ditetapkan.
“Hari ini kita fokus kepada penerimaan barang ke pusat pengumpulan banjir kita. Pagi tadi kita telah menerima dua lori tiga tan barangan yang kita uruskan untuk diasingkan di pusat #KITALAHMALAYSIA.
“Pagi tadi, sebuah lori yang hanya memuatkan lampin pakai buang untuk kanak-kanak telah dihantar terus ke Hospital Temerloh. Ada juga yang kita hantar melalui pesawat FireFly yang diuruskan oleh Leisure Golf Services sebanyak 600 kilogram untuk setakat ini,” katanya.
Sementara itu, kelibat tiga wanita orang kurang upaya (OKU) menarik perhatian kami di pusat pengumpulan bantuan di mana mereka turut menyumbang beberapa beg pakaian dan barangan keperluan asas lain.
Pada awalnya, mereka enggan ditemu bual kerana menyifatkan bantuan yang dihulurkan ikhlas tanpa perlu digembar-gemburkan.
Namun, selepas dipujuk, akhirnya Nur Qamarina Abdullah, 31 dari Seksyen 24, Shah Alam bersetuju berkomunikasi dengan kami melalui bahasa isyarat.
Qamarina masih ingin membantu mangsa-mangsa banjir yang sedang menghadapi kesusahan meskipun mereka golongan OKU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan