MALAYSIAKINI
Yayasan Felda meminta umat Islam yang memiliki cetakan pertama al-Quran
terjemahan Bahasa Melayu dan Inggeris - Mushaf Al-Mukminin Al-Quran
Al-Karim (Rasm Uthmani) terbitan yayasan itu agar memulangkan semula
bagi diganti dengan naskhah baru.
Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata cetakan pertama
naskhah al-Quran itu boleh dipulangkan semula kepada Yayasan Felda atau
pejabat Felda berhampiran.
Beliau berkata naskhah al-Quran berkenaan perlu dipulangkan memandangkan
terdapat kesilapan tidak disengajakan pada cetakan pertama namun begitu
kesilapan itu telahpun diperbetulkan pada cetakan kedua.
"Kami juga telah membuat pengumuman pada awal cetakan edisi pertama
supaya memaklumkan kepada kami jika ada kesalahan ayat atau terjemahan
maksud sehinggalah isu ini ditimbulkan," katanya ketika dihubungi
Bernama hari ini.
Mohd Isa berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar
tabloid hari ini mengenai teguran pembaca al-Quran berkenaan yang
mengesan kesalahan pada ayat lapan Surah Yusuf dan pada Surah Al-An'am
ayat 116 dan 117.
Beliau berkata Felda memohon maaf atas kesilapan itu dan tidak sama sekali berniat mahu menyinggung perasaan umat Islam.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan