shahbudindotcom
Suatu
ketika dahulu, penggunaan jet itu menjadi pertikaian apabila Rosmah
didapati menggunakannya semasa menghadiri suatu program di Dubai bersama
beberapa isteri menteri kabinet.
Beberapa
penggunaan lain jet itu oleh Rosmah sama ada untuk kunjungan ke luar
negara mahu pun perjalanan dalam negara, sentiasa saja menjadi bualan,
pertikaian dan berita hangat di media-media.
Di
Parlimen juga, kos perbelanjaan penggunaan jet oleh Rosmah yang
melibatkan ratusan ribu ringgit wang rakyat turut pernah menjadi
pertanyaan Ahli-Ahli Parlimen dan mereka mempertikaikan kelayakan isteri
Perdana Menteri menggunakan kemudahan eksklusif itu.
Pendek
kata, isu penggunaan jet oleh Rosmah sentiasa saja diperkatakan salah
atau benarnya meskipun isteri Perdana Menteri dikatakan mendapat
kebenaran khas daripada Kabinet atau pun daripada Najib sendiri selaku
Perdana Menteri.
Kali ini, penggunaan jet oleh
Rosmah kembali hangat apabila Najib yang sedang bercuti dan selepas
bermain golf bersama Barack Obama di Hawaii didapati pulang sendirian
untuk meninjau suasana banjir dalam negara dan meninggalkan pesawat khas
itu di AS.
Ia segera menimbulkan andaian
bahawa jet itu adalah untuk kegunaan Rosmah, apatah lagi ia dikesan
melalui FlightRadar24 turut berkeliaran di ruang udara Indianapolis, Los
Angelas, New York, Dubai dan Bangkok dan dipercayai sedang dalam
perjalanan pulang ke Kuala Lumpur.
Berbanding
era Mahathir dan Pak Lah, penggunaan jet oleh isteri Perdana Menteri
tidak pernah menjadi isu. Ketika itu hanya Perdana Menteri yang
menggunakan kemudahan itu sepenuhnya dan isteri mereka tidak pernah
menggunakannya secara sendirian.
Tetapi kini
isu jet begitu kerap menjadi mainan media berikutan Rosmah terlihat
ghairah mahu menggunakan kemudahan itu. Mungkin sudah sampai masanya
atas sebab-sebab tertentu seperti keperluan tugas, keselamatan dan
memenuhi keinginan seorang yang penting dalam hidup Perdana Menteri,
Najib perlu membuat keputusan rasmi dalam mesyuarat kabinet agar
isterinya diberi kelayakan khas sepanjang masa menggunakan jet kerajaan
itu.
Dengan itu, bermakna dari segi penggunaan
jet, Rosmah dinaikkan taraf untuk layak dan bebas menggunakan kemudahan
itu, sama seperti kelayakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana
Menteri.
Jika jet kerajaan yang sedia ada tidak
mencukupi, Najib juga boleh menempah sebuah lagi pesawat baru, sesuai
dengan penggunaan yang bertambah ini. Lagi pula, kita adalah negara kaya
dan hanya lima tahun lagi kita juga akan mencapai status negara maju
2020. Maka, isteri Perdana Menteri juga sudah selayaknya dipertingkatkan
statusnya.
Melalui keputusan Kabinet itu,
bermakna Rosmah bebas menggunakan jet kerajaan atas urusan rasmi,
peribadi atau bercuti tanpa perlu meminta kebenaran khas sebagaimana
amalan sekarang atau menggunakannya secara "curi-curi ayam" lagi.
Hanya
dengan menaikkan taraf kelayakan isteri Perdana Menteri sebagai
pengguna jet kerajaan yang sah dan layak saja dapat mengelakkan ianya
daripada terus menjadi isu dan mainan di media-media.
Hanya
dengannya juga mampu mengelakkan berulangnya kejadian seperti di Hawaii
baru-baru ini di mana Najib terpaksa pulang sendirian menggunakan
pesawat komersial untuk meninjau keadaan banjir di dalam negara
sementara isteri dan keluarganya pula meneruskan percutian di AS.
Sebagai
kerajaan yang sedang berkuasa, sudah sampai masanya Najib berfikir di
luar kotak, bukan saja untuk kemudahan isterinya ke sana ke mari dengan
jet kerajaan dan sebagai tanda kasih sayang kepada isterinya, malah juga
untuk mengelakkannya dan para pemimpin kerajaan yang lain menghabiskan
banyak masa bersoal jawab di Parlimen atau dengan media mengenainya.
Pihak
pembangkang dan orangramai juga tidak boleh mempertikaikannya lagi
kerana kebenaran itu sudah diberikan secara sah oleh kerajaan. Media
turut tidak perlu bising-bising setiap kali Rosmah bergentayangan di
udara dengan jet yang dibiayai oleh wang rakyat itu.
Yang
tidak setuju dan mahu membantahnya juga tidak perlu buang banyak masa
lagi bercakap mengenainya, tunggu saja melalui peti undi dan tukar
kerajaan yang ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan