MALAYSIAKINI
Presiden AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko mengesahkan seorang juruterbangnya dikesan positif dadah jenis morfin.
Namun jelasnya, ia kerana pengambilan ubat batuk, lapor media tempatan, Tempo.
Sunu dalam sidang media di Jawa Timur berkata, juruterbang itu baru
sahaja mendapat rawatan hospital kerana dijangkiti demam tifus dan masih
mengambil ubat untuk memulihkan penyakitnya.
Sunu menambah, juruterbang, yang mendapatkan rawatan pada 26 hingga 29
Disember lalu, turut mengambil ubat batuk yang mempunyai kesan
seakan-akan positif dadah.
"Ubat batuk seperti itu dapat memberikan hasil seolah-olah positif
(dadah). Tapi, setelah diteliti lagi, (kesannya) boleh hilang," Sunu
dipetik sebagai berkata.
Tempo juga melaporkan Sunu sebagai berkata, penilaian lanjut terhadap
juruterbang itu harus dilakukan kerana juruterbang itu tidak mempunyai
rekod kerja buruk.
"Untuk pemeriksaan lebih lanjut, kami akan bekerja sama dengan Badan Narkotika Nasional," Sunu dipetik sebagai berkata.
Pagi tadi, seorang juruterbang AirAsia dilapor positif dadah setelah menerbangkan pesawat dari Jakarta ke Bali.
Beliau menerbangkan pesawat dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta,
Jakarta ke Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali dengan pesawat AirAsia
QZ7510.
Dengan penemuan tersebut, juruterbang itu kini tidak dibenarkan membawa pesawat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan