HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 April 2015

Cerita pada hari pertama GST


Cerita pada hari pertama GST Pengarah Bahagian GST JKDM Datuk Subromaniam Tholasy (kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad (kanan) selepas sidang media berkaitan pemantauan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Bangunan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan semalam. - Foto Bernama
 
 
 
PUTRAJAYA - Kenaikan harga kad tambah nilai prabayar, sotong, ikan, air mineral dan gula antara aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada hari pertama pelaksanaan GST, semalam.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Alias Ahmad berkata, sebanyak 419 jumlah aduan dan pertanyaan berkaitan GST diterima kementerian itu sepanjang 8 pagi sehingga jam 2 petang semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 118 aduan mengenai kenaikan harga yang dilihat mempunyai elemen menunjukkan peniaga cuba mengambil keuntungan berlebihan yang boleh disabitkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau menegaskan akan menuntut hukuman maksimum bagi kesalahan yang dilakukan peniaga.
 
“Hukuman di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan bagi individu ialah (denda) RM100,000 bagi kesalahan pertama atau tiga tahun penjara atau dua sekali.

“Bagi syarikat, kalau telco terlibat sama nanti (dalam kes kenaikan harga kad top-up), kesalahan pertama ialah (denda) RM500,000, kesalahan kedua (denda) RM1 juta. Mahkamah akan tentukan hukuman. Kita akan tuntut hukuman semaksimum mungkin,” tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T Subromaniam untuk memaklumkan perkembangan hari pertama pelaksanaan GST, semalam.

Namun di sebalik kekalutan banyak pihak pada hari pertama pelaksanaan GST, aduan yang disampaikan pengguna kepada KPDNKK ada yang hanya mengambil tempoh satu jam untuk disiasat.

“Apabila aduan dibuat, kami akan terus salurkannya kepada penguat kuasa di negeri terlibat.

“Ada kes hari ini (semalam) yang kami hantar penguat kuasa ke lokasi yang diadukan hanya dalam masa sejam selepas aduan dibuat,” katanya.

KPDNKK membuka Pusat Gerakan Antipencatutan di peringkat pusat dan negeri sejak kelmarin yang beroperasi selama 24 jam dan dikendalikan 40 pegawai sebagai persediaan menghadapi GST.

Katanya, pusat itu ditugaskan menerima pertanyaan dan aduan berkaitan GST.

“Kalau ada yang KPDNKK tak dapat jawab, kami akan panjangkan soalan itu kepada kastam yang bertanggungjawab mengenai cukai ini,” katanya.

Beliau menerangkan, KPDNKK bertanggungjawab terhadap kesan pelaksanaan GST dari segi harga barang dan kenaikan harga yang boleh membawa kepada pengambilan margin keuntungan berlebihan dan tidak munasabah.
 
Sementara itu, Alias berkata aplikasi MyKira GST yang dilancarkan kelmarin, digunakan 10,696 pengguna sehingga jam 3 petang semalam untuk menyemak harga sebelum dan selepas GST serta harga julat. 
 
Katanya, sebanyak 61 aduan diterima melalui akaun Facebook dan Twitter KPDNKK serta sebanyak tujuh kes dibuka, semalam, khusus berkaitan GST. 
 
Katanya, empat daripada kes itu berkaitan kad tambah nilai atau top-up dan semua peniaga terlibat telah diberikan notis penjelasan dalam tempoh tiga hari berhubung aduan yang dibuat sebelum tindakan diambil mengikut undang-undang sesuai. 
 
Alias mengingatkan pengguna supaya menyimpan resit bagi tujuan aduan supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak KPDNKK.
 
“Di negara lain, tidak ada Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan tetapi kuasa pengguna mereka sangat kuat,” katanya. 

90 peratus syarikat patuhi GST
 
Subromaniam berkata, operasi bersama antara kastam dan KPDNKK bermula sejak malam kelmarin dan sehingga jam 3 petang semalam, sebanyak 480 syarikat di seluruh negara dilawati. 
 
Katanya, daripada jumlah itu, kurang 40 syarikat didapati tidak mematuhi peraturan dan undang-undang di bawah GST.
 
“Ini bermakna lebih 90 peratus syarikat yang dilawati mematuhi peraturan GST dengan mengeluarkan resit dan mengenakan GST,” katanya. 
 
Katanya, hampir semua peniaga memaklumkan pengguna yang membeli barang tidak mengadu mengenai GST, sekali gus menunjukkan rakyat negara ini sudah menerima penggunaan GST.  
 
Sementara itu katanya, kastam menerima lebih 800 aduan semalam dengan aduan paling popular mengenai syarikat yang tidak menunjukkan nombor pendaftaran GST di dalam resit tetapi mengenakan cukai itu dalam harga akhir. 
 
“Salah satu keperluan di bawah undang-undang GST ialah resit di peringkat peruncitan atau semasa peniaga menjual barang, resit itu mesti ada angka 12-digit iaitu nombor pendaftaran GST. 
 
“Ada juga aduan syarikat itu ada nombor GST tetapi tidak kenakan GST. Bermakna barang yang dijual sepatutnya kena caj GST tetapi (penjual) tidak kenakan,” katanya. 
 
Menurutnya, apabila disiasat, didapati walaupun syarikat terbabit sudah berdaftar untuk GST, sistem pembayaran di kedai mereka belum ditukar sistem GST. 
 
“Jadi kita akan pantau keadaan ini dan operasi ini akan berterusan sehingga semua peniaga mematuhi sistem pelaksanaan GST,” katanya. 
 
Selain itu, Subromaniam berkata, pusat panggilan kastam seluruh negara juga amat sibuk dengan hampir 3,000 panggilan diterima sehingga jam 3 petang semalam. 
 
“Ada panggilan yang kita tak dapat jawab kerana tempoh panggilan (setiap pemanggil) yang panjang dan setiap pemanggil ada banyak soalan. Orang awam juga ada hubungi kami, bukan hanya peniaga. Itu juga antara sebab talian kami amat sibuk. 
 
“Tetapi ini akan diperbaiki. Kita telah tambah talian baharu di seluruh negara dan kita jangka pusat panggilan ini akan bertambah baik dalam beberapa hari akan datang,” katanya. 
 
Beliau meminta pelanggan memainkan peranan dengan menuntut resit semasa membuat apa-apa pembelian.
 
Menurutnya, semua peniaga telah dimaklumkan pengeluaran resit kepada pelanggan adalah tanggungjawab yang besar di bawah GST bagi setiap peniaga yang berdaftar. 
 
“Pagi tadi saya bersarapan di sebuah restoran, saya minta resit mereka kata sistem belum bersedia. Saya minta juga resit secara bertulis tangan. 
 
“Pelanggan kena pastikan wang yang peniaga pungut itu pergi kepada kerajaan. Sebab itu, resit ini penting dan kastam akan pantau dengan melihat kepada nombor pendaftaran GST,” katanya. 
 
Tambahnya, menjadi kesalahan serius jika peniaga tidak berdaftar GST mengenakan caj cukai itu kepada pelanggan.
 
 

Tiada ulasan: