Gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Satu jawatankuasa khas melibatkan pelbagai agensi
kerajaan berkaitan dan institut pengajian tinggi (IPT) dicadang
ditubuhkan segera bagi menjalankan inisiatif bersepadu dalam menangani
ancaman propaganda dan ideologi kumpulan militan (IS).
Ketua Penolong Pengarah E8, Counter Terrorism Polis Diraja Malaysia
(PDRM), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kerjasama bersepadu ini
jika dilibatkan bersama jabatan agama, Majlis Keselamatan Negara,
Jabatan Perkhidmatan Awam dan pelbagai institit Pengajian Tinggi (IPT)
akan memudahkan kajian mendalam serta usaha menangani tarikan kumpulan
militan ini terutama menerusi media sosial.
"Setakat ini kita tak nampak lagi (usaha bersepadu), masing-masing
bergerak sendiri," katanya kepada sidang media selepas menyampaikan
taklimat eksekutif mengenai Ancaman Keselamatan Negara kepada hampir 300
penjawat awam di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Ayob Khan menarik perhatian bahawa ancaman ideologi IS adalah serius, justeru kerajaan tidak boleh berdiam diri.
"Kita perlu lawan balik serangan ideologi mereka di media-media sosial
dengan memberi penerangan yang betul kepada masyarakat," katanya.
Ditanya mengenai Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) yang
sedang dibentang di Dewan Rakyat, Ayob Khan berpendapat ia satu
undang-undang yang mampu menangani isu IS dengan lebih menyeluruh
melibatkan aspek pencegahan dan pemulihan.
"Memang kita berharap POTA diluluskan dan semua pihak menyokong kerana
ia melibatkan isu keselamatan negara...pastikan Malaysia bebas daripada
ancaman," katanya.
Terdahulu dalam taklimatnya, Ayob Khan memberi amaran bahawa PDRM
menyifatkan penyertaan rakyat Malaysia dalam kumpulan militan itu
sebagai menempah 'one way ticket' kerana mereka tidak lagi boleh
berpatah balik.
"Kita tidak akan bertolak ansur, sama ada mereka itu berniat mahu
pergi, tetapi belum pergi atau mereka yang telah pergi dan pulang semula
dalam negara," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan