Kerajaan Selangor mengambil serius teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya ditukar slogan 'Kita Lawan' bagi kontinjen negeri itu ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2016.
Berikutan itu, Ahli Exco Selangor yang bertanggungjawab bagi sukan, Amirudin Shari berkata kerajaan negeri akan mencari slogan yang lebih baik.
Amirudin memberitahu pemberita demikian selepas majlis penyampaian pingat sukan Selangor di Subang Jaya malam tadi.
Ketika bertitah di majlis itu, baginda menyuarakan rasa kecewa kerana kerajaan negeri tetap berkeras untuk menggunakan slogan 'Kita Lawan' bagi kontinjen negeri ke temasya sukan itu.
Sultan Selangor bertitah baginda tidak mahu semangat kesukanan kontinjen negeri itu dicemari dengan unsur “politik dan perkauman” kerana slogan 'Kita Lawan' telah digunapakai oleh sebuah parti politik.
Justeru itu, baginda tidak mahu masyarakat umum tersalah tafsir atau menganggap bahawa kontinjen Selangor mencampur-adukkan atau cuba berpolitik di dalam sukan.
'Kita Lawan' adalah nama yang untuk kempen gerakan menuntut pembebasan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas sabitan tuduhan liwat.
Sementara itu, Amirudin menegaskan bahawa keputusan untuk menerima pakai slogan tersebut belum dimuktamadkan.
Sebaliknya, katanya, cadangan slogan 'Kita Lawan' telah dilaporkan secara meluas di media seolah-olah ia adalah keputusan muktamad.
Sukma, katanya, hanya akan diadakan tahun depan, dan biasanya slogan akan dimuktamadkan pada saat akhir.
Amirudin yang juga ADUN Batu Caves berkata, beliau dan Menteri Besar Azmin Ali, akan membincangkan perkara itu dengan persatuan sukan yang lain untuk mendapatkan konsensus mengenai pada slogan yang akan digunakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan