HALAMAN SANTAI

Sabtu, 18 April 2015

Kurang aduan dari pengguna bukan 'tanda aras' rakyat terima GST

Oleh Nurshakira Buang

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Pengurangan dari segi bilangan aduan pengguna bukan penanda aras rakyat sudah mula menerima pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak dua minggu lalu.
 
Sebaliknya, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Jacob George berkata pengurangan jumlah aduan tersebut berlaku ekoran ketidakyakinan pengguna terhadap sistem yang dilaksanakan oleh pusat gerakan anti pencatutan sedia ada.
 
"Aduan bukan hanya satu penanda aras untuk mengenal pasti apakah masalah-masalah yang berlaku di akar umbi. Mungkin orang tidak mahu menghantar aduan lagi sebab mereka tidak yakin dengan sistem yang dilaksanakan.
 
"Dan mereka fikir ini hanya buang masa," katanya kepada Antarapos.
 
Malah, menurut Jacob terlalu banyak faktor untuk menentukan sama ada pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan itu diterima atau tidak.
 
"Ini bukan hanya satu kretiria untuk menentukan keadaan akar umbi, kita tak boleh. Kita ada banyak faktor," ujarnya.
 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek sebelum ini dilaporkan berkata rakyat sudah memahami dan boleh menerima pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
 
Katanya, kesimpulan itu dibuat beliau berdasarkan statistik kementerian yang menunjukkan pengurangan dari segi bilangan aduan pengguna yang diterima.
 
Mengulas lanjut, Jacob berkata meskipun beliau menyokong tindakan KPDNKK dalam memberi penjelasan berhubung pelaksanan cukai tersebut namun kementerian itu perlu mengambil sikap berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.
 
Katanya, ini kerana kerajaan perlu memberi gambaran yang betul kepada akar umbi berhubung GST.
 
"Untuk beri kenyataan bahawa rakyat sudah terima GST ia adalah kenyataan yang boleh dicabar.
 
"Kita mesti memberi gambaran yang betul daripada akar umbi. Untuk CASSA semua orang terima apa yang jadi masa ini berkaitan GST adalah tidak betul.
 
"Sebab, masih ada lagi golongan yang tak dapat data-data yang diperlukan, sistem sedia ada di pasaran tidak begitu canggih, ada banyak pengguna yang buat aduan tentang masalah pembelian dan sebagainya," jelasnya.
 
Bagaimanapun, Jacob berkata isu pelaksanaan GST bukan menjadi kebimbangan rakyat hari ini tetapi kesan kepada pelaksanaan cukai tersebut.
 
"Isu ini bukan isu GST sahaja. Kompaun ini berlaku dengan kenaikkan harga barang dan perkhidmatan. Jangan kita lupa, apa yang dibincangkan bukan nak kutuk GST sebaliknya sebab pelaksanaan GST dimana semua barang dan perkhidmatan naik.
 
"Jadi, fokus sekarang bukan lagi GST bersih tetapi kesan GST kepada pengguna," tambahnya.
 
Sebelum ini dilaporkan, selepas enam hari GST dilaksanakan, kementerian menerima 692 aduan daripada pengguna melalui pusat gerakan anti pencatutan.
 
 

Tiada ulasan: