Oleh Abd Shukur Harun
SEBANYAK empat kali muktamar tahunan PAS – di Perak, Selangor dan Kelantan – mengambil keputusan memperkukuh Pakatan Rakyat.Ertinya, perwakilan PAS dalam empat kali muktamar itu sangat prihatin dengan kedudukan PAS dalam Pakatan. Maka secara yang tegas perwakilan ini mahukan PAS kukuh dalam Pakatan Rakyat.
Oleh itu Muktamar PAS ke-61 di Selangor Jun nanti diharapkan akan terus komited dan mempertegaskan kembali kedudukannya dalam Pakatan. Ini adalah hasrat semua warga PAS dalam pelbagai peringkat.
Oleh itu adalah mustahil sebarang tanggapan kononnya PAS akan bergabung dengan Umno. Ini kerana warga PAS mempunyai pengalaman getir dengan Umno sejak zaman Allahyarham Tuan Haji Yusuf Rawa, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor hingga kini.
Lebih-lebih lagi mengingat kata-kata bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyebut: “PAS tidak akan bergabung dengan Umno selagi ada hayat ambo.”
Allahyarham berasa di barisan utama sekali menjadi penentang jika ada sebarang usaha untuk menggabungkan PAS dengan Umno. Pengalaman getirnya memimpin kerajaan PAS Kelantan 22 tahun selama itu berdepan dengan pelbagai diskriminasi kerajaan Umno-BN. Pengalaman ini tidak mudah dilupakan begitu saja.
Saya masih ingat, dalam satu ucapannya mengenai Umno-BN, Allahyarman berkata dengan suara tegas, “Seperti kata Abu Bakar al-Siddiq bahawa umat ini tidak boleh dibiarkan dua kali dipatuk ular di lubang yang sama.”
Saya kira hingga kini, kata-kata itu masih diingat oleh pendukung PAS hingga kini, bahkan selalu diulang oleh Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor. Perjuangan pendukung PAS berdepan dengan Umno begitu panjang dan getir menyebabkan harga perjuangan mereka begitu mahal dan tidak mudah dilupakan begitu saja.
Kini walaupun situasi simpang siur politik yang ada sekarang begitu hebat, dengan isu hudud yang kini dibahaskan berlarutan oleh pelbagai pihak, namun kita yakin tidak akan sampai mendorong PAS sampai untuk bergabung dengan Umno. Saya yakin, warga PAS matang dalam politik dan tahu akan harga dirinya dan partinya.
Sama ada Umno akan menyokong atau tidak menyokong hudud, Umno tetap Umno dengan segala watak dan karenahnya yang diketahui oleh pendukung PAS sejak zaman berzaman.
Memang benar, sifat politik itu berada dalam semua kemungkinan. Hari ini menjadi musuh, esok menjadi kawan, demikian seterusnya. Maka itu, kononnya tidak mustahil PAS akan bergabung dengan Umno atas nama Melayu dan Islam.
Teori seperti ini tidak akan terpakai sama sekali dalam hubungan antara PAS dan Umno, lebih-lebih lagi dalam suasana sekarang. Oleh itu, siapa pun yang memiliki teori ini, saya kira mereka ketinggalan zaman dan sangat naif dalam bacaan dan perhitungan politik terkini.
Apa yang penting sekarang bagi PAS dan parti lain dalam Pakatan Rakyat ialah berusaha menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan fikiran terbuka dan rasional, mengakui kelemahan dan kesilapan masing-masing.
Tidak mustahil krisis ini boleh diselesaikan apabila masingmasing memiliki pencerahan minda, iaitu melihat masa depan politik negara yang menutut kepada perubahan hingga memungkinkan tertegaknya keadilan sebenar, ekonomi yang mantap, mengurangkan beban hutang negara, cukai yang bertimpa, mencegah rasuah, pembaziran dan segalanya.
Maka itu, rakyat mengharapkan Pakatan Rakyat terus berjuang menghapuskan kemungkaran ini.
Sementara itu, sudah lupakah kita dengan kemenangan Pakatan dalam pilihan raya umum 2008 dan seterusnya pilihan raya 2013 yang lebih berjaya hingga mampu mengurangkan majoriti dua pertiga Umno-BN. Malah mendapat undi popular 52 peratus. Sudah lupakah kita bahawa dengan kekuatan Pakatan Rakyat dapat menawan lima negeri, walaupun akhirnya hanya tinggal Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.
Sudah lupakah kita, dengan PAS berada dalam Pakatan Rakyat maka sokongan undi bukan Islam terhdap PAS begitu ketara sekali.
Kalau tidak masakan dalam PRU yang lalu PAS memenangi empat kerusi Dun Johor, sebuah negeri yang didominasi oleh Umno sejak zaman berzaman.
Demikian juga di Selangor, yang majoriti pengundi bandarnya bukan Melayu tetapi PAS mendapat kerusi yang lebih banyak dari masa lalu hingga Pakatan dapat membentuk kerajaan.
Oleh itu, pada pendapat saya, tumpuan utama Muktamar PAS ke- 61 Jun nanti, perlulah meneruskan komitmennya untuk terus konsisten dalam Pakatan Rakyat.
Jangan ada simpang siur pemikiran yang akhirnya tidak memfokuskan kepada pelbagai isu penting yang dihadapi negara.
Pelbagai pihak kini memberikan perhatian kepada pemilihan pimpinan di mesyuarat agung kawasan yang puncaknya ialah pemilihan peringkat pimpinan pusat di muktamar Jun nanti.
Biarkan demokrasi berjalan dengan lancar dalam pemilihan semua peringkat nanti, justeru perwakilanlah yang akan menetukan masa depan PAS.
Akhirnya saya yakin pemikiran pendukung PAS yang kini sudah matang berfikir tidak terdorong untuk bergabung dengan Umno walau apa pun hujah dan lambaian dari siapa pun.
Almarhum Ustaz Fadzil sentiasa memikirkan keperluan melakukan perubahan kepada PAS, supaya ia terus relevan, dari sebuah parti Islam yang eksklusif kepada parti yang inklusif.
PAS tidak boleh statik, tidak melakukan perubahan, kata Almarhum Ustaz Fadzil, kerana, “Seperti air yang tidak mengalir, tidak berubah, maka air itu kotor dan tidak boleh digunakan.
Tetapi air yang mengalir, ia berubah, tidak kotor dan boleh dimanfaatkan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan