rafizi ramli Rafizi Ramli
 
 
PETALING JAYA - PR sepakat untuk menyerahkan kepada parti bertanding bagi menentukan calon di kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Rompin dan Permatang Pauh.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata nama calon-calon yang bertanding akan diumumkan parti masing-masing dalam masa terdekat.

"Majlis Setiausaha PR telah bermesyuarat bagi membincangkan calon bagi kedua-dua PRK. Mesyuarat setuju untuk serahkan kepada‎ parti bertanding untuk tentukan calon.

"PKR dan Pas telah bentangkan keputusan parti masing-masing kepada Majlis Setiausaha dan disepakati oleh mesyuarat. 

"Nama calon akan diumumkan secara rasmi oleh parti-parti berkenaan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media PR di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali memberitahu Pas akan mengumumkan calon PRK Rompin malam ini di Muadzam Shah.

Manakala menurut Rafizi, calon PRK Permatang Pauh akan diumumkan malam 24 April nanti, sehari sebelum penamaan calon. 

Dalam pada itu Rafizi turut memberitahu, Majlis Setiausaha PR juga memberi komitmen keseluruhan jentera PR di Permatang Pauh dan Rompin untuk bekerja kuat bagi memenangkan calon PR.