ROMPIN – Umno Rompin berharap calon tempatan akan dipilih bertanding
pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 5 Mei depan.
Setiausahanya, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain berkata, bagaimanapun Umno
bahagian menyerahkan pemilihan nama calon kepada Presiden Umno, Datuk
Seri Najib Tun Razak dan Badan Perhubungan Umno Negeri untuk menentukan
calon yang layak bertanding.
“Setakat ini Umno Rompin belum lagi senarai pendek nama calon dan
kemungkinan ia akan diputuskan dalam mesyuarat khas pada Ahad ini yang
bakal dipengerusikan oleh Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Hasan Arifin
yang juga merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian.
“Kami berharap nama yang bakal dicalonkan itu datang dari Jawatankuasa
Umno Bahagian Rompin sendiri,” katanya dalam sidang media yang turut
dihadiri Ketua Penerangan Umno Bahagian Rompin, Jalaluddin Md Deli,
kelmarin.
Menurutnya, masyarakat di daerah itu masih berada dalam terpinga-pinga
kerana hilang pemimpin dalam sekelip mata manakala ahli dan pemimpin
Umno perlu kuat semangat kerana tugas yang mendatang sangat berat.
Katanya, apa yang dilakukan kini adalah menguatkan kesatuan supaya
dapat meneruskan legasi yang ditinggalkan Allahyarham Tan Sri Jamaluddin
Jarjis dan jentera parti di Rompin sentiasa bersedia.
“Kami dimaklumkan jentera kempen akan diketuai Naib Presiden Umno,
Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang melibatkan jentera dari Pahang,
Kelantan, Terengganu, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.
Ditanya adakah kemungkinan pelaksanaan GST bermula 1 April lalu akan
menyebabkan Umno kalah, beliau menafikan dakwaan tersebut sebaliknya
menegaskan bahawa pendapatan negara akan bertambah yang akhirnya memberi
manfaat kepada rakyat.
“Mungkin pada permulaan pelaksanaan GST ini ada kekeliruan dan
sebagainya namun apabila sampai satu tempoh nanti, ia akan memberikan
manfaat kepada rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan