MALAYSIAKINI
Seorang lelaki disyaki terbabit dengan kes penculikan seorang
kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun pada Jumaat lepas, ditahan polis
semalam.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata suspek berumur 22 tahun
itu ditangkap orang awam ketika sedang meminta sedekah di hadapan Masjid
Muhammadi di sini pada pukul 10.15 pagi.
"Orang awam yang mencurigai kehadiran lelaki terbabit telah menangkap suspek sebelum menyerahkan kepada polis.
"Siasatan awal mendapati suspek berasal dari Terengganu," katanya kepada
pemberita dalam sidang akhbar berkaitan kes itu di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kelantan di Kota Bharu semalam.
Mazlan berkata suspek akan disiasat secara terperinci bagi mengetahui sama ada terlibat dengan sindiket penculikan.
"Buat masa ini kita dapati tiada mangsa lain yang terlibat. Bagaimanapun
siasatan lanjut akan dilakukan dan kes disiasat di bawah Sekyen 363
Kanun Keseksaan," katanya.
Dalam kejadian Jumaat lepas mangsa dibawa ke masjid oleh bapanya untuk
menunaikan solat Isyak di Masjid Muhammadi sebelum didapati hilang
kira-kira pukul 9 malam.
Mangsa ditemui orang awam sedang meminta sedekah di sebuah pasar raya
sehari selepas kejadian sebelum diserahkan kepada bapanya Kamarolzaman
Mohamad, 50, yang berniaga di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan