shahbudindotcom
Hari ini merupakan hari terakhir kempen pilihanraya kecil Rompin. Esok, 5hb Mei adalah hari pengundian untuk memilih Ahli Parlimen baru kawasan itu bagi menggantikan Allahyarham Jamaluddin Jarjis yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Semenyih, bulan lalu.
Pada
pilihanraya umum 2013 lalu, BN menang dengan majoriti 15,114
mengalahkan Pas. Dalam pilihanraya kecil ini, calon BN, Hasan Ariffin
juga berhadapan dengan Pas yang meletakkan Nazri Ahmad sebagai calonnya.
Di
atas kertas, memang terlihat harapan BN mengekalkan kerusi Rompin amat
cerah. Pas juga barangkali tidak bermimpi mampu membuat kejutan dalam
pilihanraya kecil ini, tambahan pula calon BN adalah orang lama yang
bukan asing lagi bagi pengundi Rompin. Hasan sebelum ini pernah menjadi
Adun, Exco dan Timbalan Menteri Besar Pahang.
Tetapi
pilihanraya kecil Rompin ini diadakan ketika suhu politik nasional baru
mula menggelegak berikutan serangan dan kritikan bertali arus daripada
bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad terhadap Najib Razak.
Dengan
pelbagai isu yang sudah sekian lama melingkari kepimpinan Najib serta
penolakan yang kian ketara di mana-mana, Tun Mahathir dengan tegas
mahukan Perdaha Menteri ditukar untuk menyelamatkan UMNO dan BN dalam
pilihanraya akan datang.
Ditambah
dengan isu GST yang semakin hari semakin membengkak dalam hati rakyat,
penolakan terhadap BN semakin jelas jadinya. Isunya bukan sangat kerana
rakyat menolak sistem cukai baru itu, tetapi lebih disebabkan kegagalan
kerajaan menangani isu-isu remeh di sebalik perlaksanaannya.
Sementara
kerajaan sebelum ini mengatakan GST akan menurunkan harga barang kerana
kadarnya lebih rendah berbanding SST, hakikatnya semua itu tidak
menjadi kenyataan. Hampir semua pembelian meningkat harganya, termasuk
teh tarik di kebanyakan kedai dinaikkan sebanyak 10 sen dan ditambah
dengan GST lagi, propa kononnya akan berlaku penurunan harga nyata palsu
belaka.
Lebih
dari itu, yang paling menyenakkan perut rakyat ialah kegagalan kerajaan
sehingga kini menyelesaikan isu 30 sen dan 60 sen cukai GST pada kad
prabayar telefon yang menjadi kegunaan utama golongan muda, suri rumah
dan mereka yang berpendapatan rendah. Ia memperlihatkan kerajaan amat
lemah dan tiada lagi kekuatan.
Oleh
yang demikian, pilihanraya kecil Rompin ini ada nilainya yang
tersendiri kepada masa depan rakyat. Ia bukan saja untuk pengundi
Rompin, tetapi bagi seluruh negara.
Barangkali
ternampak mustahil untuk mengharapkan Pas menang dan menewaskan BN.
Selain majoriti pada pilihanraya 2013 lalu agak tinggi, Rompin juga
memang merupakan kubu kuat BN.
Pengundi
bolehlah terus memberi kemenangan kepada BN di Rompin tetapi dalam masa
yang sama, mesej mesti dihantar kepada kerajaan iaitu dengan cara
mengurangkan sedikit majoriti kemenangannya. Daripada 15,114 majoriti
pada 2013 lalu, ia mungkin boleh dikurangkan kepada sekitar 13 ribu atau
12 ribu majoriti undi saja.
Melihat
kepada sejarah BN yang pernah menang dengan majoriti hanya 10, 679 pada
pilihanraya 2008 lalu, tentulah tidak mustahil bagi pengundi Rompin
untuk memberi mesej kepada Najib dan kerajaan dengan cara mengurangkan
sedikit majoriti kemenangan BN.
Pentingnya
pengundi Rompin menghantar mesej itu ialah untuk memberitahui kerajaan
mengenai realiti dan beban yang dihadapi rakyat. Mesej melalui
pengurangan majoriti itu bermakna rakyat tidak gembira dengan GST,
rakyat tidak suka dengan pembaziran dan pemborosan, rakyat menolak
kepimpinan yang lemah serta mahu isu-isu berkaitan 1MDB, Sirul dijawab
serta dijelaskan dengan sebaiknya.
Jika
tiada mesej, Najib dan kerajaan tidak akan memahaminya dan menganggap
rakyat sentiasa memberi sokongan terhadap apa yang dilakukannya,
termasuk berbelanja mewah, melakukan pemborosan dan membeli jet sekali
pun.
Jika
tiada mesej melalui pengurangan majoriti juga, ia akan menyebabkan
teguran dan kritikan Tun Mahathir selama ini tidak bermakna lagi. Tun
Mahathir mungkin akan berehat di rumah saja selepas ini. Najib tentu
saja akan mendabik dada mengatakan beliau terus disokong oleh rakyat di
sebalik pelbagai karenah dan onar yang dilakukannya jika majoriti BN
terus bertambah di Rompin ini.
Jangan bimbang wahai pengundi Rompin, mesej pengurangan majoriti ini dijamin tiada GST!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan