Alasan kedai mamak menyumbang kepada gejala sosial tidak dapat diterima.
PETALING JAYA: “Bos, roti canai garing dengan teh tarik kurang manis satu!”. Itulah pesan penulis setiap kali melangkah masuk ke kedai mamak yang memang menjadi pilihan apabila lapar menjelang tengah malam.
Hari ini, tatkala penulis melayari laman sesawang, penulis agak terkejut dengan cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung cadangan supaya penutupan restoran mamak atau larangan untuk beroperasi selama 24 jam atas alasan ianya menyumbang ke arah gejala sosial di kalangan warga muda negara.
Sebagai peminat mamak tegar, tidak sedikitpun ianya menjadikan penulis sebagai seorang yang bermasalah malahan berjaya sebagai seorang peguam.
Ingin diingatkan, masalah gejala sosial ini datangnya dari kelab-kelab malam, bar, pub dan tempat-tempat yang sewaktu dengannya antara lainnya. Ironinya, pusat-pusat hiburan ini dibenarkan pula untuk beroperasi sehingga jam tiga pagi tetapi tempat makan seperti mamak yang tidak langsung menjual sebarang bentuk minuman beralkohol tidak dibenarkan beroperasi selepas jam 12 tengah malam?
Apa yang lebih menyedihkan, sikap pilih kasih dapat dilihat apabila premis-premis makanan segara seperti KFC dan MCD dibenarkan untuk beroperasi.
Hari ini kerajaan berlumba-lumba untuk merealisasikan matlamat ke arah wawasan 2020 walhal tindakan yang diambil atau dicadangkan adalah sebaliknya.
Isunya, bagaimana dengan penutupan restoran mamak dapat menyelesaikan masalah gejala sosial di kalangan warga muda hari ni?
Bolehkah Datuk Seri membuat perbandingan dengan negara-negara luar dan juga menyatakan kedai-kedai mamak menyumbang kepada masalah kebersihan selain menjadi penyebab kepada pencemaran bunyi?
Bagi makluman Datuk Seri, restoran-restoran di luar negara waktu operasinya terhad adalah disebabkan oleh kos pekerja yang tinggi, cuaca yang tidak mengizinkan dan ianya telah menjadi budaya mereka untuk memendekkan waktu operasi tetapi kesemua itu tidak terpakai di negara kita.
Ingin juga penulis maklumkan di sini, adalah tidak adil untuk menghukum operator-operator kedai mamak ini kerana kekhilafan majlis perbandaran meluluskan lesan perniagaan mereka di kawasan-kawasan kediaman.
Majlis perbandaran selepas ini harus lebih peka dan mungkin mengetatkan pemberian lesen kepada operator-operator kedai mamak dalam usaha untuk menyelesaikan isu ini, sekiranya ianya boleh dikira sebagai isu kerana ianya tidak kepada penulis.
Datuk Seri juga tidak boleh mementingkan diri sendiri. Kedai mamak merupakan nadi kepada para pekerja khususnya mereka yang bekerja secara shif di mana ianya merupakan tempat rehat selain dapat menikmati makanan dengan harga yang berbaloi.
Bagi yang tidak berpendapatan tinggi, sebungkus nasi lemak dapat membantu menghilangkan kelaparan sekaligus memberikan tenaga untuk bekerja semula. Kedai-kedai makanan segara yang dibenarkan beroperasi tidak akan mampu untuk menawarkan makanan yang murah sekaligus akan membebankan pengguna.
Bagaimana pula dengan berkumpul bersama teman-teman di kedai mamak dapat menyumbang kepada gejala sosial? Tidakkah tanggungjawab untuk mengelakkan gejala sosial dari berleluasa datang dari pihak berwajib malah tindakan menghukum operator kedai mamak adalah suatu tindakan yang tidak adil. Selain itu, penggunaan internet di kedai mamak juga kata Datuk Seri adalah suatu budaya yang membazir masa dan tidak membawa faedah.
Ia juga adalah sebab mengapa remaja hari ni tidur lewat dab lebih suka berjaga lewat malam. Datuk Seri, hak untuk tidur itu adalah hak individu. Masyarakat hari ini bukannya robot yang telah ditentukan hidup mereka oleh kerajaan. Tidak cukupkah lagi dengan segala undang-undang yang telah digubal, segala peraturan yang telah dilaksanakan? Kini masa tidur kami juga ingin dikawal?
Bagi warga kerja seperti penulis, hari minggu adalah masanya untuk kami berkumpul. Malah bukan setakat lewat malam, kami akan berjaga sehingga pagi. Penulis tidak mampu ke hotel-hotel justeru kedai mamak adalah alternatifnya. Perbuatan ini secara tidak langsung akan menjana pendapatan dan ekonomi negara.
Kedai mamak juga secara tidak langung telah menjadi tarikan pelancong dari negara luar. Malah aktiviti larut malam berkenaan kedai mamak dan seleksi makanan yang ditawarkan telah banyak menghiasi majalan-majalah pelancongan antarabangsa!.
Justeru, sekiranya cadangan ini berjaya, Datuk Seri masih tidak akan dapat menyekat aktiviti penulis, kerana sebagai seorang Generasi Y yang suka berfikir dan mencari alternatif, banyak lagi pilihan tempat yang boleh penulis kunjung untuk lakukan aktiviti bersifat “sosial”. Penulis dengan tegasnya menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan “boh fo doh fo” Datuk Seri itu.
Syaruzaimi Yusof adalah seorang peguam dan pembaca FMT dan seorang peguam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan