SHAH ALAM: Persidangan meja bulat pembangkang yang diadakan
tergesa-gesa mungkin hanya mempunyai dua matlamat sahaja, kata
penganalisis politik UUM, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.
Mohd Azizuddin berkata, PKR terpaksa mengadakan di saat-saat akhir
bagi menyelamatkan gabungan pembangkang yang semakin berpecah.
Justeru kata Azizuddin adalah tidak hairan sekiranya persidangan meja bulat itu dimaklumkan di saat-saat akhir kepada PAS.
"Kalau tengok daripada program-program sebelum itu, nampak PKR masih
lagi mahukan PAS bersama cuma PAS yang tidak mahu tetapi dalam konteks
ini ada dua matlamat sebenarnya apa yang PKR hendak buat.
"Pertama dia hendak mencapai matlamat Pakatan Rakyat baru (Pakatan
Harapan) ditubuhkan, dan dalam masa yang sama dia hendak selamatkan
kerajaan negeri Selangor di bawah kerajaan yang mana PAS masih ada lagi
sebagai komponen dalam kerajaan Selangor," katanya kepada AntaraPos
ketika dihubungi.
Beliau mengulas mengenai tindakan Presiden PKR, Datuk seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail yang mengadakan persidangan meja bulat itu secara
tergesa-gesa pada 22 September lalu.
Semalam, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
membangkitkan perkara berkenaan kerana pihaknya tidak dimaklumkan
mengenainya sedangkan mereka mengadakan pertemuan di Ibu Pejabat PKR
pada 15 September lalu.
Katanya, apa yang berlaku ketika itu adalah hanya persidangan untuk
membincangkan isu melibatkan kepentingan rakyat bukannya penubuhan
Pakatan Harapan.
PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) pada Selasa lalu secara
rasmi menubuhkan Pakatan Harapan untuk menentang Umno-Barisan Nasional
pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Gabungan baru itu menggantikan Pakatan Rakyat yang diisytiharkan terkubur oleh DAP sebelum ini.
Bagaimanapun persidangan meja bulat itu tidak dihadiri oleh PAS.
Mengulas lanjut kata Azizuddin, berkemungkinan keengganan PAS hadir ke
persidangan itu juga disebabkan yakin masih mampu berdiri dengan
sendiri tanpa melibatkan rakan komponennya lagi.
"Tetapi memang PAS ini pun pendekatan sudah lain, dia masih rasa dia
ada kekuatan di luar bandar dan cuma sekarang ini dia nampak lebih rapat
dengan Umno, jadi saya rasa tidak mahu menolak kemungkinan dia mahu
bergabung dengan Barisan Nasional, mungkin juga keadaan ini boleh
berlaku.
"Atau pun PAS dia akan bertandng jika ada bertanding tiga penjuru,
itulah yang cuba dielakkan oleh pakatan, jadi mereka akan pecah undi dan
mereka akan kalah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan