Bendera Palestin akhirnya dikibar di Bangunan PBB
Sebanyak 119 negara menyokong resolusi bagi
membenarkan bendera Palestin dikibarkan di PBB manakala lapan negara
menolak termasuk Amerika Syarikat, Israel dan Australia.
NEW YORK: Bendera negara Palestin buat julung-julung kalinya mendapat tempat untuk dikibarkan di Bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu (Khamis di Malaysia).
Kibaran bendera negara Asia Barat itu dilakukan selepas mengambil kira rayuan yang dibuat oleh pemimpinnya, Mahmoud Abbas pada perhimpunan Agung PBB pada Selasa (Rabu di Malaysia).
Dalam ucapannya, Mahmoud menegaskan agar negara-negara yang masih belum mengiktiraf Palestin supaya melakukannya.
Katanya, Palestin berhak mendapat keahlian penuh dan pengiktirafan sebagai sebuah negara dalam PBB.
Beliau menyampaikan ucapan itu sebelum majlis mengibarkan bendera Palestin di badan dunia itu buat pertama kali sebaris bersama 193 lagi bendera negara ahli PBB.
“Palestin adalah negara pemerhati di PBB, berhak untuk mendapat pengiktirafan dan keahlian penuh,” katanya yang dipetik daripada agensi berita AFP.
Pada 10 September lalu, Perhimpunan Agung PBB mengundi bagi membenarkan bendera Palestin dan Vatican dikibarkan di PBB.
Kedua-dua negara itu mempunyai status pemerhati.
Resolusi disokong 119 negara dengan 45 daripadanya berkecuali manakala lapan undi menolak termasuk Australia, Israel dan Amerika Syarikat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan