shahbudindotcom
Rasanya sudah dua tiga kali Tun Mahathir Mohamad menyebut mengenai perlunya Najib Razak dikalahkan di kawasan di pilihanrayanya, Pekan sebagai salah satu cara menghalangnya daripada terus menjadi Perdana Menteri selepas pilihanraya umum akan datang.
Ini
tentunya berikutan sikap Najib yang enggan mengalah serta terus mahu
berpaut di kerusi yang didudukinya di singgahsana Perdana Putra meskipun
hingar bingar menolaknya bukan lagi sekadar kedengaran di dalam negara,
malah sudah merebak ke banyak penjuru dunia.
Semalam,
dalam satu majlis anjuran UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, di
Ampang, bekas Perdana Menteri itu mengulangi sekali lagi perkara itu.
Kali
ini, selain meminta pengundi Pekan mengalahkan Najib dengan menolak
sebarang bentuk percubaan memberi mereka wang, beliau juga mahu mereka
mencontohi sikap pengundi Cina.
Saya
lihat, orang Cina kalau kepentingan mereka terancam, mereka akan
bersatu dan sanggup melupakan kepentingan parti yang mereka anuti,
tambah beliau.
Katanya, pengundi Pekan juga perlu bijak dan berpakat dengan baik serta belajar daripada semangat orang Cina itu.
Bagaimanapun,
jelas Tun Mahathir, sama ada mereka boleh berpakat dengan baik atau
sebaliknya, ia ditentukan oleh pengundi Pekan sendiri.
Orang
ini (Najib) pencuri, biarkan dia kalah di Pekan, tetapi dalam masa yang
sama pastikan UMNO terus menang dalam pilihanraya, hurainya lagi.
Nampak macam menarik idea Tun Mahathir, malah ramai yang bersorak dan bertepuk tangan mendengarnya.
Soalnya, bolehkah Najib dikalahkan di Pekan?
Meskipun
Najib pernah menang tipis 241 undi pada pilihanraya 1999, tetapi
selepas itu majoriti kemenangannya boleh dikira cukup selesa.
Beliau
dikatakan bukan saja lebih memperkemaskan jenteranya menangani segala
macam masalah di kawasan pilihanrayanya itu, bahkan turut aktif menambah
pendaftaran pengundi juga bagi memastikan kemenangan tipis itu tidak
berulang lagi.
Sebab
itu, majorit kemenangan Najib dalam pilihanraya 2004 terus melonjak
kepada 22,292 undi. Malah jika dalam pilihanraya 1999, jumlah yang
keluar mengundi hanya seramai 27,539 orang, angka itu meningkat kepada
41,102 orang pada pilihanraya 2004.
Daripada
majoriti kemenangan sebanyak 22,292 undi pada 2004 pula, keselesaan
itu berterusan lagi dengan menjadi 26,464 undi pada pilihanraya 2008 dan
35,613 undi pada pilihanraya 2013 yang lalu.
Mengambil kita semua angka-angka ini, bagaimanakah Najib mampu ditewaskan?
Apakah perlu Tun Mahathir sendiri bertanding di Pekan melawan Najib?
Atau,
kalau pun tidak Tun Mahathir sendiri yang bertanding kerana faktor usia
dan sudah pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, adakah dalam
pilihanraya akan datang beliau akan mengambil keputusan turun berkampung
sepenuh masa di Pekan bagi berkempen menewaskan Najib?
Mungkinkah
pemimpin-pemimpin yang rapat dengan Tun Mahathir seperti Sanusi Junid,
Ibrahim Ali dan lain-lain akan turut sama dengannya "membelasah" Najib
di Pekan sepanjang musim kempen pilihanraya akan datang nanti?
Dalam
hal ini, memandangkan Najib yang ingin ditumbangkan, apakah Tun
Mahathir turut sedia berpakat dengan Pakatan Harapan agar mereka dapat
meletakkan calon yang benar-benar sesuai, berwibawa dan "heavyweight"
bagi melawan Najib itu?
Hakikatnya
tentulah tidak bermakna jika Tun Mahathir sekadar mahukan tewas di
Pekan, tetapi calon yang berlawan dengannya sekadar "ikan bilis" saja.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan