HALAMAN SANTAI

Jumaat, 9 Oktober 2015

CEO jadikan Islam teras imbangi kejayaan‎

CEO jadikan Islam teras imbangi kejayaan‎
Dari kiri: Teh Arfah bersama-sama panel Sarah, Ili Zawani dan Mohamad Razlan selepas sesi Forum Keusahawanan, semalam.


IPOH - Program CEO Talk yang menampilkan empat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) terkemuka tanah air, dilihat mampu melahirkan usahawan seimbang yang bukan sahaja bersandarkan kepada keuntungan semata-mata.

Seorang peserta, Emi Syareena Ahmad Rofaie, 31, berkata, pengalaman dikongsi memberi mereka sisi baharu, selain menekankan aspek kerohanian yang turut menjadi pencetus kejayaan seseorang.

Dia mengakui perlu lebih banyak seminar sebegini dianjurkan untuk memberi input kepada usahawan terutama bagi mereka yang baharu berkecimpung dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, seminar ini perlu diadakan kerap supaya dapat ‘refresh’ semula seseorang usahawan untuk melakukan anjakan dalam membesarkan perniagaan.

“Banyak benda baharu saya pelajari hari ini berdasarkan pengalaman mereka. Bagaimana mereka berkongsi cara-cara untuk bertahan dalam perniagaan dengan menjadikan teras Islam sebagai penentu kejayaan,” katanya.

Beliau berkata, perkongsian dilakukan secara santai itu perlu diteruskan dengan menjemput lebih ramai tokoh-tokoh ternama dalam bidang perniagaan.

Bagi Azizum Hashim, 43, program ini memberi motivasi kepada usahawan yang memerlukan ikon untuk dicontohi agar memberi semangat untuk terus bersaing dalam bidang yang mencabar terutama dengan kecanggihan teknologi masa kini.

Beliau berkata, selain mendapat manfaat melalui perkongsian pengalaman, mereka juga berpeluang mencari pelanggan baharu dan berkenalan dengan rakan perniagaan lain.

“Seminar ini sangat diperlukan untuk warga Ipoh, selalunya ia kerap diadakan di Kuala Lumpur. Hendak pergi ke sana jauh dan tidak mampu, jadi usaha yang Mara lakukan ini menepati kehendak ramai usahawan negeri ini,” katanya.

Program sehari bermula jam 9.30 pagi itu menampilkan Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; CEO Brainy Bunch, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; CEO Modvier, Sarah Shah Nor dan CEO Farmasi Colour Cosmetics (FCC), Ili Zawani Ismail.

Rajinkan diri membaca

Hussamuddin yang juga Penerbit akhbar Sinar Harian berkata, seseorang yang ingin berjaya perlu banyak membaca untuk tambah pengetahuan.

Menurutnya, apabila pengetahuan luas, secara tidak langsung keyakinan diri meningkat.

“Setiap mereka yang hendak berjaya perlu bercita-cita tinggi dan berpandangan jauh, malah kejayaan sebenarnya dibentuk bukan secara diperoleh tidak sengaja.

“Usahawan juga kena yakin dengan diri dan produk yang hendak dipasarkan. Tak boleh malu-malu,” katanya di hadapan lebih 200 usahawan pada program berkenaan.

Beliau berkata, untuk berjaya, setiap pekerjaan dilakukan perlu niat kerana ALLAH.

Katanya, pada masa sama, setiap usahawan juga perlu berfikiran positif dan elak daripada berperasaan hasad dengki untuk terus berjaya.

Kembali pada nilai Islam kunci sebenar kejayaan

Penerapan nilai Islam yang sebenar dalam perniagaan merupakan elemen penting bagi membolehkan seseorang usahawan itu maju dan mencapai sasaran yang diinginkan.

Perkara itu ditekankan, Ketua Pegawai Eksekutif  Brainy Bunch, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang menjadikan paksi Islam dalam menentukan matlamat dan fokus empayar perniagaan yang diterajuinya.

Bekas Pengarah Urusan Syarikat Kereta Nasional Malaysia, Proton Holdings Bhd itu berkata, sesukar mana perjalanan usahawan itu, dengan niat yang betul, pasti akan dipermudahkan.

“Dalam konsep perniagaan ini, kita bukan sahaja nak cari (kebaikan) di dunia tapi akhirat. Sama seperti apa yang kita lakukan... ia perlu dimulakan dengan niat yang betul. Adakah hanya untuk mendapatkan keuntungan atau mendatangkan kebaikan ke jalan ALLAH.

“Niat kita berniaga memang nak kaya, tapi kaya yang sebagaimana... adakah dengan menipu orang... kerana itu kita kena kembali kepada asas perniagaan dalam Islam,” katanya.

Brainy Bunch kini mempunyai 4,500 murid di 62 cawangan seluruh Malaysia dengan 1 cawangan di Singapura dan China.

Hadapi cabaran dengan bijak

Cabaran dan perniagaan, dua frasa yang tidak boleh dipisahkan, hanya keyakinan dan kesungguhan mampu mengekalkan diri dalam industri yang penuh mencabar ini.

Itu yang dilakukan, CEO Farmasi Colour Cosmetics (FCC), Ili Zawani Ismail yang mula melibatkan diri dalam perniagaan seawal usia 21 tahun.

Ili Zawani berkata, bermula daripada sifar, dia menapak secara perlahan-lahan bagi memastikan produk kosmetik halal yang didatangkan dari Istanbul itu menembusi pasaran di negara ini.

Bagaimanapun, selepas dua tahun, beliau mula berdepan halangan terpaksa menghentikan pengeluaran produk apabila terikat dengan undang-undang berkaitan penggunaan jenama.

“Ketika itu saya diarahkan tutup semua kaunter dan semua produk ditarik balik, tetapi sebab kita lakukan perniagaan ini dengan jiwa, jadi kita akan cuba fight.

“Saya jumpa dan lakukan perbincangan dengan pelbagai pihak hingga sampai ke bangunan Parlimen untuk tahu apa masalah sebenar dan Alhamdulillah, dalam tempoh tujuh bulan perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.

Selain Ili Zawani, forum berkenaan turut menampilkan CEO Modvier, Sarah Shah Nor sebagai panel dan Pengarah SME Corp Malaysia, Mohamad Razlan Mohamed Razalli sebagai moderator.

Jaga kualiti produk

Selaras dengan perkembangan ekonomi, tidak dinafikan ada peniaga yang mengambil kesempatan menggunakan GST sebagai alasan mengubah kualiti produk bagi menjaga keuntungan.

Bagi Sarah, pendekatan itu bukan sesuatu yang baik jika merancang untuk kekal lama dalam perniagaan.
“Sekiranya usahawan menjaga kualiti produk sudah tentu jika dinaikkan harga, pelanggan tetap membeli produk berkenaan kerana menepati kehendak dan berpuas hati,” katanya.


Tiada ulasan: