"Saya mengulangi penafian sekeras-kerasnya tohmahan terhadap DAP, kononnya parti ini termasuk ahlinya yang Melayu-Islam, menentang Islam seperti digembar-gemburkan media Umno.
"Bagaimanapun, selepas meneliti dan mengambil pandangan peguam, ilmuan Islam dan rakan-rakan, saya berpendapat isu khutbah tidak perlu melalui saluran undang-undang secara tergesa-gesa," katanya. Beliau yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mentakab berkata demikian pada satu sidang media di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur hari ini.
Tengku Zulpuri optimis Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman akan bersetuju dengan perjumpaan tersebut dan menjangkakan ia akan diadakan sekurang-kurangnya minggu hadapan.
"Saya akan membuat temu janji dengan Jabatan Mufti Pahang untuk menguraikan kekusutan melalui perbincangan dan penerangan kedua-dua pihak secara berhemah," katanya.
Sementara itu ahli DAP, Zulhazmi Shariff yang berstatus peguam pada sidang media sama berkata, pihaknya tidak memutuskan lagi sama ada mahu menarik balik hasrat mengambil tindakan undang-undang.
"Kita bukan menarik balik hasrat ambil tindakan undang-undang. Cuma bagi peringkat sekarang kita merasakan adalah lebih baik untuk pihak kami daripada DAP mengadakan pertemuan menyelesaikan secara dalaman dan bersemuka dengan mufti meminta penjelasan tentang apa yang ditulis dan dinyatakan dalam khutbah.
"Dan itulah yang baik setakat ini. Bagi kami kita akan adakan perbincangan terlebih dahulu dan bergantung sama ada mufti terima atau tidak kemudian kita akan putuskan kemudian sama ada meneruskan tindakan undang-undang atau tidak," kata Zulhazmi yang sebelum ini merupakan ahli PAS.
Beliau berkata, sekiranya mufti enggan berjumpa dan berbincang secara bersemuka, DAP Pahang akan membuat satu lagi sidang media lain untuk membuat keputusan seterusnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Mufti Pahang tidak akan tunduk terhadap tuntutan memohon maaf daripada DAP.
Rahman menegaskan, khutbah tersebut merupakan satu nasihat kepada umat Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama dengan pihak yang mencabar agama.
Dalam teks khutbah solat sunat Aidiladha dikeluarkan Jaip, umat Islam dinasihati bersatu padu walaupun berlainan ideologi politik bagi mengelak perpecahan di kalangan orang Melayu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan