SHAH ALAM - Hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM42 bilion didakwa boleh memansuhkan hutang yang ditanggung oleh 1.7 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Demikian kata Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli sambil menegaskan kerajaan hanya memerlukan peruntukan sebanyak RM6 bilion setahun bagi tujuan itu dan melaksanakan dasar pendidikan percuma.
"Jumlah hutang tertunggak oleh peminjam PTPTN setakat 31 Mac 2015 adalah RM13.3 bilion melibatkan 1,716,475 peminjam seperti jawapan Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan kepada Parlimen baru-baru ini.
"Jumlah RM13.3 bilion hanyalah sebahagian kecil dari sumber kewangan berjumlah RM50 bilion yang telah dialihkan kepada 1MDB," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sesi dialog dengan pelajar-pelajar Malaysia di Amerika Syarikat, semalam bahawa pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN hanya dapat dibuat sekiranya rakyat sanggup membayar cukai pendapatan yang lebih tinggi.
Naib Presiden PKR itu juga berkata, berdasarkan kadar tukaran mata wang ringgit yang merudum, hutang 1MDB pada masa ini sudah mencecah RM50 bilion, manakala belanjawan syarikat itu mencecah RM5.8 bilion dalam tempoh tiga tahun.
"Jumlah itu adalah hampir kepada RM2 bilion setiap tahun; iaitu jumlah yang diperlukan untuk memansuhkan terus hutang PTPTN.
"Kerajaan sebenarnya mampu untuk memansuhkan hutang PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma sekiranya kekayaan negara disalurkan bagi membina sistem pendidikan yang terbaik, bukannya dibazirkan di dalam projek-projek yang berakhir menjadi skandal seperti 1MDB," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Malaysia perlu menyedari bahawa dasar pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN dapat dilaksanakan tanpa menaikkan cukai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan