Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, beberapa agensi kerajaan sedang berbincang mengenai usaha-usaha ke arah mengetatkan lagi undang-undang siber sedia ada di negara ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan persidangan "Legal Forum 4U & Me" anjuran Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Malaysia di Sintuk, yang dihadiri Naib Canselor UUM Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak.
Katanya, antara jenayah siber yang berlaku ketika ini membabitkan usaha merekrut masyarakat tempatan termasuk di kalangan kanak-kanak untuk menjadi anggota kumpulan pengganas Negara Islam (Isis) oleh pihak tertentu.
"Jikalau apa yang berlaku seperti hari ini dibiarkan begitu sahaja, ia boleh mengakibatkan keselamatan negara kita terancam," katanya dan menambah, masalah berkaitan jenayah-jenayah siber bukan sahaja dihadapi oleh Malaysia, tetapi seluruh dunia.
Katanya, beberapa pihak dalam negara sentiasa memantau aktiviti kumpulan tertentu merekrut masyarakat negara ini untuk menjadi sebahagian daripada anggota pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).
"Kita perlu lebih berhati-hati dan memberi kesedaran kepada masyarakat kita," katanya.
Nancy juga meminta masyarakat sentiasa berhati-hati menggunakan media sosial dan tidak terlalu bergantung dengan maklumat-maklumat yang disaji, sebaliknya memeriksa dengan sumber-sumber sahih terlebih dahulu.
Turut hadir pada persidangan itu ialah Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zuki Ali. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan