Najib Tun Razak. - Foto Bernama
SHAH ALAM - Pakatan Harapan menjunjung titah Majlis Raja-raja Melayu bahawa kemelut kewangan 1MDB dan risikonya terhadap ekonomi negara perlu ditangani dengan segera.
Pakatan Harapan dalam kenyataan bersama antara Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, kerajaan perlu bertindak segera dan akur kepada titah baginda tersebut.
"Pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi boleh melengah-lengahkan keputusan-keputusan yang penting mengenai 1MDB kerana kegawatan yang berlarutan telah dan akan membawa kesan buruk kepada ekonomi negara.
"Kami menyeru supaya semua institusi awam dan agensi penguatkuasaan memainkan peranan dengan sebebas mungkin supaya kemelut 1MDB dapat diselesaikan segera," kata mereka dalam satu kenyataan, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Teguran Majlis Raja-Raja selaras sentimen rakyat]
[ARTIKEL BERKAITAN: Kalau tidak yakin PM, raja akan terus terang]
Terdahulu Majlis Raja-Raja Melayu pada Selasa menitahkan pentadbiran Najib perlu menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.
Baginda sekalian juga menegaskan semua pihak bertanggungjawab perlu memberi kerjasama sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.
Dalam pada itu, Pakatan Harapan juga menegaskan sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan oleh pihak berkuasa boleh mengingkari titah baginda sekalian.
Sementara itu, Pakatan Harapan sedang menyiapkan Belanjawan mereka sendiri sebelum kerajaan membentangkan Bajet 2016 di Parlimen pada 23 Oktober ini.
Antara fokus utama Belanjawan Pakatan Harapan ini adalah langkah muktamad masalah 1MDB ini untuk mengelakkan rakyat terus terheret dengan kegawatan ekonomi akibat kemelut kewangan yang dihadapi syarikat pelaburan itu.
Gabungan itu turut menjunjung titah baginda sekalian agar keharmonian kaum dan perpaduan dijaga demi kesejahteraan negara.
"Titah tersebut adalah tepat mengambil kira pelbagai kejadian akhir-akhir ini yang seolah-olah cuba melaga-lagakan satu kaum dengan kaum-kaum yang lain kebelakangan ini.
"Oleh itu kami mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghayati titah Majlis Raja-raja Melayu itu agar menghindari perbuatan atau pengucapan yang menyinggung perasaan orang lain terutamanya yang bersabit kaum dan agama," katanya kenyataan itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan