shahbudindotcom
Hanya
sehari selepas Najib Razak membentangkan Bajet 2016 yang langsung tidak
menarik untuk masa depan negara dan rakyat keseluruhannya, dua
peristiwa berlaku hari ini yang boleh dianggap sebagai tanda-tanda
tekanan akan berterusan lagi kepadanya.
Pertama,
13 Ketua UMNO Cawangan dalam bahagian Teluk Kemang, Negeri Sembilan
dengan sepakat tampil menuntut Najib meletakkan jawatan bagi mengelakkan
parti dihukum pengundi dalam pilihanraya umum akan datang.
Dengan
13 daripada 54 cawangan yang terdapat di Teluk Kemang sudah berani
bersuara sedemikian rupa, ia adalah petanda jelas suara-suara penolakan
terhadap Najib tidak lagi sekadar menyembunyikan diri, tetapi mulai
berani memandangkan situasi dan masa depan negara yang kian disedari
semakin gawat dari semasa ke semasa.
Lebih-lebih
lagi kerana UMNO Teluk Kemang dipimpin oleh Isa Samad, Pengerusi Felda
yang juga salah seorang pendokong kuat Najib, bermulanya suara penolakan
itu di situ bermakna tidak mustahil akan dituruti oleh
cawangan-cawangan dalam bahagian lain pula.
Jika
sebelum ini, seorang Ketua Cawangan dalam bahagian Pandan, Syed
Saifuddin Syed Harman telah memulakan langkah dengan menjemput Tun
Mahathir Mohamad untuk suatu program bulan lalu, kini nampaknya telah
ada 13 Ketua Cawangan di Teluk Kemang yang dengan berani menuntut Najib
berundur daripada jawatannya.
Selepas
ini, tampillah lebih berani Ketua-Ketua Cawangan lain dari seluruh
negara dengan agenda yang sama untuk bersuara bagi menyelamatkan negara
ini!
Setelah
Ketua-Ketua Bahagian tidak boleh diharapkan untuk menjadi berani bagi
menyelamatkan parti dan negara berikutan kebimbangan hilang pelbagai
nikmat dan kepentingan, di bahu Ketua Cawanganlah harapan seterusnya
disandarkan.
Yang
kedua, Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin sudah mulai keluar dari
"zon berdiam dirinya" dengan kesediaan hadir buat pertama kali dalam
satu program Bicara Minda - "Berani Kerana Benar" anjuran akhbar Sinar
Harian di Johor Bahru.
Dalam
kemunculannya itu, Muhyiddin tanpa berselindung terus bercakap mengenai
perasaan dan kebimbangannya mengenai UMNO, 1MDB, Najib, kedudukannya
dalam parti, masa depan negara dan pelbagai lagi.
Dengan
sedia muncul bersama khalayak dan seperti tidak mahu hanya membiarkan
Tun Mahathir saja ke sana sini untuk membetulkan UMNO dan negara,
Muhyiddin nyata sudah mengambil langkah yang berbeza sekarang ini.
Apatah lagi, bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut berkata, beliau kini sedia menghadapi risiko tentang tindakannya ini.
Tentu
saja selepas ini, Muhyiddin tidak mengelak lagi jika mana-mana pihak,
termasuk UMNO cawangan mahu menjemputnya untuk memberi ucapan dan
berkongsi pandangan, sesuai dengan seruannya agar jangan sesiapa takut
untuk memberi teguran demi menegakkan kebenaran.
Tidak
mustahil juga kiranya beliau akan turut tampil bergandingan dengan Tun
Mahathir dalam pelbagai program jelajah atau penerangan ke seluruh
negara lantaran mula menyedari kedudukannya sebagai pemimpin nombor dua
sudah mulai tidak dihormati dan ingin diketepikan peranannya oleh Najib.
Apa
pun, sesuai dengan kebangkitan yang sudah diserlahkan oleh 13 Ketua
UMNO Cawangan Teluk Kemang serta Muhyiddin sendiri sudah mengambil
langkah proaktif dan tidak lagi berdiam diri serta bersama usaha tanpa
jemu oleh Tun Mahathir sebelum ini, semua pihak yang sayangkan negara
ini perlu terus bangkit memainkan peranan masing-masing.
Jangan dibiarkan ia terhenti sekerat jalan atau seperti "hangat-hangat tahi ayam" saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan