KUALA LUMPUR,  Umno akan menghadapi kesukaran, jika percanggahan atau perbezaan pendapat antara pemimpin parti itu terus diperbesarkan dengan sengaja dan terbuka.


Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali al-Habshee berkata, pergeseran atau perbezaan pandangan berhubung sesuatu isu adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi besar, termasuk Umno.

Tegasnya, isu berkenaan tetap akan wujud, namun paling penting ialah cara untuk menyelesaikan atau menanganinya, iaitu dilakukan dengan mengambil kira kepentingan parti dan rakyat secara keseluruhan.

“Apa yang penting, tradisi menghormati pemimpin dan setia kepada perjuangan Umno perlu dipertahankan, bagi memastikan parti sentiasa berada dalam keadaan baik dan relevan.

“Budaya tersebut bagaimanapun tidak bermakna seseorang pemimpin tidak boleh ditegur, tetapi teguran terhadap pemimpin seeloknya dilakukan secara berhemah, seperti menerusi saluran yang dibenarkan parti, tidak prejudis dan bukannya menjurus kepada agenda peribadi,” demikian tulisnya dalam blognya, umnobahagiancheras.blogspot.my, hari ini.

Tambah bekas Ahli Dewan Negara itu lagi, Umno akan terus terperangkap dalam situasi di mana keberkesannya dipersoalkan rakyat, jika ada kalangan pemimpinnya bertelagah atau memburuk-burukkan sesama sendiri.

Ujarnya, sikap menyambar peluang untuk menonjolkan diri supaya dilihat popular dalam menangani sesuatu isu, bukannya satu tindakan positif dan menguntungkan parti.

“Pandangan inilah yang disuarakan rakyat, mereka cuak melihat ada kalangan pemimpin Umno yang dikatakan membelakangkan kepentingan parti dalam menangani sesuatu isu.

“Kita kena dengar suara dan pandangan akar umbi, golongan inilah yang selama ini memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Umno, setiap kali berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU),” jelasnya