SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad untuk memasukkan sabitan Liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam pembelaan mereka terhadap saman malu.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan peguam akhbar berkenaan, Datuk Firoz Hussein Ahmad.
"Keputusan saya adalah bukti sabitan lampau tidak boleh diterima atau dibenarkan," kata hakim Hue.
Hakim Hue bagaimanapun menetapkan 19 Oktober depan untuk sambungan semula kes.
Sebelum ini, akhbar itu memohon meminda kenyataan pembelaan mereka pada 2 Julai tahun lalu untuk memasukkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun itu, yang mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas bekas ketua pembangkang itu.
Mereka juga mahu memasukkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari tahun ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.
Anwar yang juga bekas Ketua Pembangkang sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh yang bermula juga pada 10 Februari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan