KUCHING,   PKR menyokong penuh keputusan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem untuk menjadikan Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua di negeri itu.


Pengerusi PKR negeri, Baru Bian berkata, Sarawak mempunyai hak untuk menggunakan Inggeris sebagai bahasa rasmi, kerana ia adalah satu daripada perkara dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia yang dimeterai 52 tahun lalu.

“Perjanjian itu menyatakan kita perlu mengkaji penggunaan bahasa di negeri selepas 10 tahun membentuk persekutuan, di mana negeri itu tidak pernah pilih untuk mengetepikan bahasa Malaysia daripada kegunaan rasmi.

“Jadi, ia jelas adalah hak kami dan mereka di Semenanjung tiada hak untuk mengkritik kami dalam perkara ini,” kata Baru dalam sidang media hari ini.

Selasa lalu, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata, bahasa Malaysia perlu kekal sebagai bahasa rasmi di Sarawak.

Jelasnya, ketika Merdeka, pemimpin semua kaum memutuskan bahasa Malaysia perlu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tunggal untuk seluruh negara.

Abdul Kadir turut menyokong gesaan penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Rais Yatim supaya Sarawak mempertimbangkan keputusan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan rasmi kerajaan negeri itu, demi perpaduan negara, kerana langkah itu dilihat boleh menimbulkan bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Baru membalas dengan mengatakan kedua-dua bekas menteri itu silap dalam memberi pendapat mereka yang menyalahkan bahasa sebagai punca perpecahan kaum di negara ini.

“Ia betul-betul karut dan alasan tidak logik untuk mereka berkata demikian. Punca perpecahan kaum adalah kegagalan pemimpin Barisan Nasional persekutuan untuk menjaga kami di negeri ini.

“Ini sebabnya Sarawak perlu mendapatkan kembali autonomi dalam pendidikan, kerana ada banyak sekolah luar bandar masih diabaikan, walaupun pelan pembangunan pendidikan telah diumumkan.

“Tetapi untuk dasar ini, PKR menyokong penuh Ketua Menteri kami, kerana sebagai rakyat Sarawak, kami sokongan apa yang terbaik untuk negeri ini,” kata Baru.

Penggunaan bahasa Inggeris telah berlaku, walaupun sebelum pengumuman Adenan minggu lalu, kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) masih menggunakan Inggeris dalam prosidingnya dan turut menerima bahasa Malaysia dan bahasa etnik lain, menjadikan ia satu-satunya DUN pelbagai bahasa di negara ini.
Inggeris turut digunakan dalam prosiding mahkamah di Bumi Kenyalang.

Semalam, Adenan menolak kritikan pelbagai pihak yang terhadap penggunaan bahasa Inggeris di negeri itu, dengan menegaskan tindakan itu sebagai praktikal.

“Saya tidak pernah kata kita akan mengabaikan Bahasa Malaysia, menggunakan Bahasa Inggeris hanya praktikal. Ia bukan bahasa eksklusif kepada Anglo Saxon lagi, ia adalah bahasa dunia,” kata Adenan pada Selasa.

Keputusan menjadikan Inggeris sebagai bahasa perantaraan rasmi kerajaan negeri itu mendapatkan kritikan hebat daripada Semenanjung, namun ia disokong majoriti rakyat Sarawak, memandangkan mereka terkenal sebagai masyarakat pelbagai bahasa.