Oleh JAGDEEP SINGH DEO
Ingin saya mengingatkan bahawa negara kami masih dihantui pertuduhan-pertuduhan yang masih tertangguh, khususnya berhubung dengan Perdana Menteri dan isu 1MDB serta $681 juta dollar Amerika yang telah didepositkan ke dalam akaun persendirian beliau.
Kita seharusnya tidak membiarkan isu-isu tersebut dibelenggu oleh pertuduhan terhadap ketua menteri Pulau Pinang atas pembelian kediaman beliau yang masih belum disahkan.
Adalah diharapkan bahawa penyiasatan berhubung dengan isu ini dapat dijalankan dengan cepat untuk membersihkan nama baik beliau.
Secara
jelasnya, aspek yang positif dan baik berhubung isu tersebut adalah
fakta pembelian kediaman tersebut adalah satu fakta yang tidak
dinafikan.
Ia tidak dinafikan kerana semua
wakil rakyat Pakatan Harapan dan DAP di negeri Pulau Pinang telah
mengisytiharkan harta kami secara umum.
Usaha
ini telah dilaksanakan selepas Pilihanraya Umum Ke-12 pada tahun 2008
oleh kerajaan negeri Pulau Pinang apabila ketua menteri dan barisan EXCO
beliau telah mengisytiharkan harta mereka.
Seterusnya,
selepas Pilihanraya Umum Ke-13, usaha pengisytiharaan harta tersebut
telah dilanjutkan, bukan sahaja kepada YAB Ketua Menteri dan barisan
EXCO beliau, malah kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah
juga turut mengisytiharkan harta mereka.
Urus tadbir yang baik
Pelaksanaan
pengisytiharaan harta ini merupakan salah satu unsur yang menyumbang ke
arah urus tadbir yang baik. Pimpinan yang bersih ini dapat memastikan
keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan mengukuhkan kesahan sesebuah
kerajaan.
Ia juga harus dinyatakan bahawa
perlaksanaan pengisytiharaan harta ini kini dilakukan secara sukarela di
negeri Pulau Pinang dan negeri Selangor (untuk barisan EXCO), dan
pengisytiharaan harta ini patut dipertimbangkan untuk digubal sebagai
sebahagian daripada perundangan, bagi memastikan pengisytiharaan harta
sebegini adalah kewajipan berkanun.
Dengan
mengambil kira senario tersebut, ia adalah langsung tidak dapat diterima
bahawa pada abad dan masa kini, pengisytiharaan harta tidak
dilaksanakan oleh Barisan Nasional, biar di peringkat negeri Pulau
Pinang mahupun di peringkat kebangsaan, walaupun ADUN Umno BN Pulau
Pinang telah dipohon untuk mengisytiharkan harta mereka oleh ketua
menteri.
Memandangkan isu yang dihadapi adalah
berhubung dengan ketelusan, khususnya aset dan harta yang dimiliki oleh
seseorang wakil rakyat terpilih, saya ingin mencabar semua wakil rakyat
Umno Barisan Nasional untuk melakukan pengisytiharaan harta yang sama
seperti mana yang telah dilakukan oleh wakil-wakil rakyat Pakatan
Harapan di Pulau Pinang, di dalam tempoh masa 48 jam, supaya rakyat
Pulau Pinang dan Malaysia dapat menilai sendiri dan sam aada apa yang
diisytiharkan perlu disiasat selanjutnya.
* JAGDEEP SINGH DEO Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan