HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Mac 2016

Ganti paip 226 km, sasar turun NRW 7 peratus

OLEH : NAZLI IBRAHIM


RAWANG: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memulakan proses menggantikan paip air lama pada tahun ini bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) 32 peratus kepada 25 peratus menjelang 2025.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ini berikutan kebanyakkan paip yang masih digunakan pada masa ini sudah terlalu lama hingga menyebabkan banyak kebocoran sekaligus menyumbang kepada kadar NRW tinggi.

AZMIN

“Antara isu besar kita hadapi ketika ini adalah isu NRW yang masih tinggi dan ia perlu diberikan perhatian supaya kadar NRW ini dapat dikurangkan.

“Berdasarkan sasaran (mengurangkan NRW 32 peratus kepada 25 peratus) Air Selangor memberikan tumpuan menggantikan kira-kira 226 kilometer paip air di Selangor untuk tempoh 2016 hingga 2018,” kata Mohamed Azmin pada Majlis Penyerahan Mitigasi 2 kepada Kerajaan Selangor di Rumah Pam Matang Pagar, di sini, hari ini.

Ketika menyentuh fenomena cuaca panas dan kering yang melanda negara pada masa ini, Mohamed Azmin menyatakan kesyukuran beliau apabila Selangor mampu mengharunginya tanpa mengenakan sebarang catuan air.

Katanya, langkah pencatuan air bukan sahaja menyusahkan rakyat, malah mampu memberi kesan terhadap perindustrian di negeri termaju itu.

“Orang ramai diseru menggelakkan pembaziran ketika menggunakan air dan menggalakkan masyarakat lebih inovatif memikirkan kaedah membolehkan air hujan dapat dimanfaatkan bagi tujuan mencuci kereta dan seumpamanya,” katanya.-nR-


Tiada ulasan: