Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan sinis mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mendapat dua tawaran jawatan berikutan pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun Hishammuddin turut mengucapkan takziah kepada Muhyiddin kerana menolak kedua-dua jawatan tersebut iaitu sebagai Gabenor Pulau Pinang dan Pengerusi Permodanan Nasional Berhad (PNB).
“Tawaran saya ucapkan tahniah, penolakan saya ucapkan takziah,” katanya ringkas kepada pemberita hari ini.
Menteri pertahanan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa beliau mendapat dua tawaran ekoran pemecatan daripada jawatannya sebagai timbalan perdana menteri.
Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang Tahun 2016 Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur, petang ini.
Muhyiddin sebelum ini berkata tawaran itu dibuat oleh pihak yang tidak dinamakannya.
Beliau dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai pihak yang menawarkan jawatan itu.
Bagaimanapun tidak jelas sama ada tawaran itu dibuat sebelum atau selepas Muhyiddin disingkirkan daripada jawatan timbalan perdana menteri.
Menjelaskan keadaan itu Ahli Parlimen Pagoh berkenaan memberitahu tidak dapat menerima tawaran yang diberikan kerana ia membabitkan soal maruah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan