Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SUBANG JAYA: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali enggan
mendedahkan nama menteri kanan yang didakwa akan meletakkan jawatan
berikutan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Saya tak menamakan sesiapa. Saya tak akan menamakan pimpinan tersebut
kerana sebagai menghormati perbincangan sulit antara saya dengan
individu berkenaan.
"Dan saya faham jika nama ini didedahkan Malaysia menjalankan sistem
yang akan ugut, tekan orang berkenaan. Jadi saya tak akan menamakan
(menteri berkenaan)," katanya kepada media selepas hadir ke Majlis
Pelancaran Buku Pembina Fikrah Perjuangan oleh Dr Syed Husin Ali di
Hotel Empire Subang, petang tadi.
Azmin juga diasak perincian perbincangan sulit tersebut oleh wartawan namun tetap enggan mendedahkan lebih lanjut.
"Beliau jaga salah satu portfolio yang diputuskan oleh PM.
"Bertemulah, bila mata bertemu jatuh ke hati," katanya secara sinis kepada pemberita.
Azmin juga tidak memberi sebarang jawapan apabila menteri yang
dimaksudkan itu adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman.
"Saya tidak buat kenyataan tetapi hanya buat soalan," ujarnya ringkas.
Semalam, Azmin memuat naik status berbentuk pertanyaan menerusi akaun
Twitternya mengenai seorang menteri kanan telah meletak jawatan.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan
kenyataan menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor tersebut selain
meminta Azmin mengemukakan nama menteri yang dimaksudkan.
Dalam pada itu Azmin memaklumkan keadaan ibunya semakin tenat selepas diserang strok buat kali kedua pada hari ini.
"Hari ini sekitar jam 12 tengah hari beliau diserang strok kali kedua
dan keadaan lebih serius. Doktor bertemu dengan keluarga petang ini dan
menyatakan keadaan ibu kritikal. Kita mendoakan keadaannya dan moga
Allah SWT permudahkan," ujar Azmin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan