KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi hari ini menyifatkan dakwaan ada menteri kanan meletak jawatan
sebagai satu pembohongan oleh Menteri Besar Selangor.
"Saya ingin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang peletakan jawatan
oleh mana-mana menteri kanan. Saya tahu Menteri Besar Selangor (Datuk
Seri Mohamed Azmin Ali) merujuk status laman sosial beliau (kepada)
Datuk Seri Anifah Aman (iaitu) Menteri Luar, telah meletak jawatan,"
katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Anifah ada bersama beliau di sini
malam tadi sebelum Menteri Luar itu berangkat ke Brussels, Belgium hari
ini atas kapasitinya selaku menteri.
"Ertinya Menteri Besar (Selangor) itu cuba membohongi rakyat terhadap
(melalui) berita yang tidak benar," katanya dalam sidang media selepas
merasmikan Sambutan Hari RELA ke-45 Peringkat Kebangsaan di Padang
Merdeka, Kota Kinabalu.
Turut hadir Ketua Menteri, Sabah Datuk Seri Musa Aman, menteri-menteri
persekutuan dan negeri serta Ketua Pengarah RELA Zulkifli Abidin.
Menurut Ahmad Zahid, malam tadi beliau dan Anifah bersama-sama
menghadiri program UMNO Sabah dan gambar beliau bersama Anifah kemudian
ditularkan oleh Musa menerusi laman sosial Twitter.
Timbalan Perdana Menteri itu juga menjangkakan lebih banyak pembohongan
akan dibuat seperti yang berlaku pada dua pilihan raya umum lalu.
Semalam, Mohamed Azmin memuat naik status berbentuk pertanyaan menerusi
akaun Twitternya mengenai seorang menteri kanan telah meletak jawatan.
Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengeluarkan
kenyataan menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor tersebut selain
meminta Mohamed Azmin mengemukakan nama menteri yang dimaksudkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan