Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Seorang bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
menyifatkan gelaran ulama yang dipegang Datuk Seri Abdul Hadi Awang
tidak 'kena' dengan keperibadiannya, ekoran bersikap 'dingin' pimpinan
DAP dan Amanah sehingga langsung enggan bekerjasama.
Datuk Khairuddin Abu Hassan berkata, sikap dingin Hadi turut
menyebabkan PPBM menerima tempias apabila PAS juga dikatakan enggan
menjalin permuafakatan politik oleh kerana parti pimpinan Tun Dr
Mahathir Mohamad itu bekerjasama dengan dua seterunya.
"Hadi semakin merepek. Dahulu dengan DAP tidur sebantal, sekatil dengan PAS berbelas tahun.
"Amanah juga terdiri dan didokong dari orang Melayu dan Islam. Mengapa
beliau hendak bermusuh? Jika beliau ulama, bolehkah berbuat demikian?
Adakah wajar ambil tindakan sedemikian rupa, berdendam? Ini bukan ajaran
Islam. Ini bercanggah dengan hukum Islam," katanya kepada Antarapos.
Reaksi itu diberikan Khairuddin selepas Hadi pada kelmarin menegaskan
PAS tidak akan bekerjasama dengan PPBM kerana ia menjalin permuafakatan
dengan DAP dan Amanah.
Hadi dilpaorkan berkata partinya bersedia menamatkan sebarang rundingan
mengenai kerjasama dengan PPBM tanpa menunggu tempoh sebulan yang
ditetapkan oleh Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM.
Khairuddin turut menyatakan rasa hairan sambil mempersoalkan mengapa
Hadi tidak mencontohi keperibadian Nabi Muhamamd SAW yang boleh
bekerjasama dengan bukan Islam dalam usaha membawa keamanan dan
perpaduan ummah.
Menurut Khairuddin lagi, Hadi juga wajar mencontohi bagaimana Dr
Mahathir dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama
berjiwa besar untuk bekerjasama meskipun kedua-duanya pernah menjadi
musuh.
"Hadi perlu ikut contoh Dr Mahathir dan Anwar. Mereka pernah mempunyai
perbezaan pendapat lebih kurang 18 tahun, tetapi kerana agenda hendak
menyelamatkan bangsa dan agama serta tanah air, mereka sanggup ketepikan
kesmeua perbezaan pendapat sesama mereka dan akhirnya bergabung tenaga.
"Kalau Rasulullah memeterai perjanjian dengan orang bukan Islam demi
mencapai keamanan dan kesejahteraan kepada ummah, mengapa Hadi tidak
boleh ikut sunnah Rasulullah?
"Kata ulama, kata parti beragama Islam, tapi mereka bermusuh,
berkompromi dengan pelbagai salah laku dan kemungkaran yang sedang
dilakukan oleh PM yang korup dan memimpin kerajaan kleptokrasi di negara
kita," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan