SHAH ALAM: PAS akan membuat keputusan bersabit kerjasama dengan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS
Pusat, Jumaat ini, lapor Utusan Online.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilaporkan
portal itu berkata, Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan
memberi penjelasan berhubung keputusan tersebut.
"Saya mengetuai pertemuan dengan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri
Mukhriz Mahathir awal bulan lalu dan seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS
Pusat perlu mendengar sendiri penjelasan Presiden parti sekali gus
membuat keputusan mengenai perkara itu.
"Langkah seterusnya adalah mengkaji tindakan susulan dalam Muktamar
Tahunan PAS April ini sebelum Majlis Syura Ulama membuat keputusan
muktamad," katanya.
Dalam pada itu menurut Tuan Ibrahim, PAS tidak terikat dengan sebarang
tempoh masa atau mana-mana pihak termasuk Pengerusi PPBM, Tun Dr
Mahathir Mohamad dalam membuat keputusan berkaitan parti.
Katanya, tahaluf siyasi atau kerjasama politik antara PAS dan mana-mana
parti lain bukan keputusan individu tetapi melibatkan perbincangan
semua pihak di peringkat akar umbi hingga kepemimpinan tertinggi.
"Tahaluf siyasi itu juga akan sentiasa dikaji dari semasa ke semasa
kerana ia boleh diputuskan pada bila-bila masa jika parti atau pihak
berkaitan bertindak mengkhianati Pas.
"Jika Dr Mahathir mempersoalkan isu penyertaan PAS dalam pakatan
pembangkang, kita memang tidak akan menyertainya semula. Jadi, tidak
perlu memberi sebarang tempoh," jelasnya.
Dr Mahathir pada Sabtu lalu memberi tempoh sebulan kepada pemimpin PAS
untuk memutuskan sama ada mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) atau
tidak.
Dr Mahathir dipetik sebagai berkata, walaupun perkara itu masih di
peringkat perbincangan dengan PAS susulan pertemuan kedua-dua parti pada
1 Feb lepas, keputusan segera harus diperolehi bagi menentukan strategi
seterusnya.
Bekas perdana menteri itu juga menyatakan kekesalannya ekoran
keengganan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertemu
dengan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan soal
kerjasama ini dengan lebih lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan