Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri
Muhyiddin Yassin menjangkakan jalan kerjasama antara partinya dengan PAS
akan merintis usaha ke arah penyatuan parti-parti pembangkang yang
lebih kukuh bagi menghadapi Barisan Nasional (BN).
Katanya langkah kearah itu akan memastikan pembangkang bersatu dalam
memastikan prinsip satu lawan satu antara pembangkang dan Umno BN adalah
dicapai menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
"Kerjasama ini akan merintis jalan ke arah pembentukan muafakat politik
yang lebih kukuh antara parti-parti pembangkang untuk menghadapi
Barisan Nasional secara satu lawan satu dalam PRU-14 dan insyaAllah,
jika diberikan mandat oleh rakyat, akan membentuk sebuah kerajaan baharu
yang berintegriti selepas pilihanraya, katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Malah beliau menyambut baik kesediaan PAS untuk membentuk kerjasama
dengan serpihan Umno itu sebagaimana yang dijalankan oleh Timbalannya
Datuk Seri Mukhriz semalam.
Mukhriz bersama-sama rakan sejawatnya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang
mewakili PAS semalam mengadakan rundingan secara rahsia di ibu negara
bagi merintis jalan kearah kerjasama antara kedua-dua parti.
Rundingan itu menghasilkan draf kerjasama yang akan diperincikan oleh
kedua-dua pihak untuk ditandatangani oleh Presiden kedua-dua parti pada
satu tarikh terdekat.
"PPBM sebelum ini telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan
Pakatan Harapan dan kerjasama ini akan diteruskan. Persefahaman yang
dicapai dengan PAS ini akan melengkapkan usaha ke arah mewujudkan
muafakat politik antara parti-parti pembangkang dan InsyaAllah akan
memperkukuhkan lagi kedudukan parti-parti pembangkang menjelang PRU-14,"
katanya.
Dalam pada itu, bekas timbalan perdana menteri itu turut optimis
kerjasama berkenaan akan mewujudkan satu gabungan yang berkaliber untuk
mentadbir negara sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
PPBM sebelum ini mengikat persefahaman antara parti tajaan Tun Dr.
Mahathir Mohamad dengan gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan
konsep satu lawan satu dengan Umno BN pada PRU14 kelak.
"Saya percaya peluang untuk mewujudkan sebuah gabungan parti-parti
politik yang lebih berkaliber untuk mentadbir negara sekiranya diberikan
mandat oleh rakyat akan dapat direalisasikan dengan wujudnya
persefahaman antara PPBM, PAS dan parti-parti sekutu yang mempunyai
aspirasi yang sama.
"Dengan perkembangan terbaru ini saya juga yakin bahawa harapan untuk
menyelamatkan Malaysia serta menawarkan masa depan Malaysia yang lebih
baik juga semakin cerah.
"Saya berdoa semoga perjanjian PPBM-PAS akan dapat dimaterai oleh saya
dan Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, dalam tempoh beberapa
hari akan datang," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan