JAKARTA: Seorang pegawai di Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia
ditahan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia di Kuala Lumpur
bagi membantu siasatan kes rasuah.
Ketua Biro Hubungan Masyarakat KPK, Febri Diansyah hari ini berkata,
pegawai itu ditahan di pejabatnya di Kuala Lumpur semalam dan akan
dibawa pulang ke Jakarta secepat mungkin untuk didakwa.
Media-media dalam talian memetik Febri sebagai berkata, KPK dengan
kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat
intipan terhadap kegiatan pegawai itu sejak beberapa bulan lepas.
Katanya, pegawai terbabit dipercayai meminta wang rasuah daripada ejen
dan beberapa buah syarikat bagi mengeluarkan pasport dan visa untuk
rakyat Indonesia yang berada di Malaysia.
Hasil siasatan awal mendapati pegawai berkenaan telah menerima rasuah
lebih daripada Rp 1 miliar (kira-kira RM300,000) sejak tahun lepas.
Febri berkata, KPK juga telah menggeledah rumah pegawai terbabit di Depok dekat sini dan menyita sejumlah dokumen.
Ini adalah kes kedua berkaitan pengeluaran pasport secara rasuah di
Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur susulan penahanan dua
pegawai di kedutaan itu sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan