IPOH: Seorang wanita berusia 21 yang pernah mendapat rawatan psikiatri
ditemui mati selepas dipercayai terjun dari tingkat tujuh Hospital Raja
Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.
Mangsa, Shanina Mohamad Zuhairi, yang sebelum ini pernah mendapat
rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, dekat sini, berkunjung ke HRPB
sebagai pelawat sebelum ditemui maut oleh orang ramai pada pukul 3.10
petang.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, hasil siasatan
awal mendapati tiada elemen berunsur jenayah dalam kejadian tersebut.
"Penelitian kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa telah naik
ke tingkat lapan dan merayau-rayau mencari tempat terbuka serta bercakap
seorang diri sambil menggerakkan tangannya.
"Mangsa kemudian dilihat turun ke tingkat tujuh selepas kawasan koridor
di tingkat lapan tertutup sebelum terjun," katanya dalam kenyataan di
sini lewat malam tadi.
Sementara itu, kakak mangsa, Syahirah, 23, berkata adiknya baru sahaja
pulang dari Indonesia, Selasa lalu, bagi mendapatkan rawatan perubatan
tradisional selepas mengalami gangguan emosi sejak beberapa bulan lepas.
"Dulu memang dia pernah mendapatkan rawatan psikiatri namun sudah lama
berhenti makan ubat kerana doktor memberitahu dia sudah sembuh.
"Namun sejak dia berkahwin enam bulan lalu, penyakitnya itu datang
semula dan kami percaya dia terkena gangguan sihir," katanya ketika
ditemui di hospital tersebut.
Ibu mangsa, Zabidah Kintan, 51, yang datang ke hospital tersebut
selepas menerima berita mengenai anaknya, pengsan dan dirawat di wad
kecemasan selepas melihat mayat anaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan