MENJELANG sebulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, negara mula bergoncang.
Alahai! Macam tersampuk hantulah pula jadinya. Selepas PRU14, banyak berita menggerunkan. Kita dengar macam-macam. Cuma, kisah krisis kepimpinan Pakatan Harapan (PH) terasa menakutkan.
Seramnya macam terserempak jembalang.
Sambil berkias-kias cerita seram ini, elok juga kita berterus-terang. Lagi pun kisah seram ini bukan rahsia pun. Ia diperbualkan secara meluas di mana-mana. Lagi pun, ia semacam berasas dan wujud titik benar.
Zainuddin Maidin (Zam) mendakwa pergerakan penasihat PKR, Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini amat mencurigakan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi.
Apabila bekas ketua pengarang Utusan Melayu itu berciap di Twitter, titik keresahan umpama mentol yang menyala secara rasmi. Zam rakan akrab Dr Mahathir Mohamad.
Walaupun sudah bersara sebagai wartawan dan menteri, serta tidak partisan, Zam antara pengkritik tegar Najib Razak.
Zam agresif melalui blognya menyelar kepimpinan Najib sejak 2014 hingga jatuhnya Barisan Nasional (BN).
Malah, Zam bersama Daim Zainuddin turun berkempen di Kedah pada PRU 14 lalu.
Justeru, apabila Zam menciapkan isu yang menakutkan pada 31 Mei lalu, menimbulkan ketakutan awam. Rakyat sudah mula terasa seperti ternampak hantu.
Kita tahu ciapan itu bukan gosip politik. Zam wartawan dan bekas menteri. Apabila dia menembak sesuatu, tentulah jampinya bersebab.
Zam menyifatkan Anwar tidak sabar menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
“Ketika negara memerlukan konsolidasi dan kestabilan, pergerakan Anwar Ibrahim terutama dalam mengadap Raja-Raja menarik perhatian dan menimbulkan berbagai-bagai spekulasi.
“Beliau kelihatan seperti cacing kepanasan, seperti tidak sabar tunggu dua tahun lagi,” ciap Zam.
Selepas Zam, A Kadir Jasin, bekas wartawan sohor New Straits Times membangkitkan tentang Anwar. Isu yang masyarakat menerimanya sebagai mesej yang serius. Bahawa, adanya jurang persefahaman antara Dr Mahathir dan Anwar.
"Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditajukberitakan sebagai berkata beliau bimbang dengan perbezaan pendapat dalam PH.
"Saya katakan begini kepada sahabat lama saya itu: Jangan sekadar bimbang saja. Sebagai orang tua kita lakukanlah yang terbaik bagi mengukuhkan perpaduan dalam pakatan kita," tulisnya.
Malah, nada Kadir menegur lebih sinis: "Sesiapa pun, si papa atau raja akan mengundang tindak balas yang setimpal sekiranya mereka cuba menidakkan pilihan rakyat jelata dan undang-undang negara."

Sebagai rakyat, kita trauma. Segera kita teringat pada sejarah 1998. Tahun bermulanya krisis antara Dr Mahathir dan Anwar.
Ramai yang hilang kerja. Malah, kalau tidak ratusan ribu, puluhan ribu kehilangan kerja. Krisis Dr Mahathir dan Anwar menjadi puncak krisis politik pada detik kejatuhan mata wang Asia itu. Negara turut bergegar dengan reformasi jalanan.
Bursa saham jatuh merudum daripada paras 1200 mata ke tahap 200 mata. Mata wang ringgit Malaysia jatuh mendadak daripada RM2.50 per AS$1 kepada lebih RM4.50 per AS$1. Ia kenangan yang penuh seksa pada ketika itu.
Krisis Dr Mahathir dan Anwar adalah trauma bagi semua rakyat Malaysia yang melalui era usia muda pada 1998. Malah, ia membawa kepada lahirnya parti reformasi, Keadilan.
Berbalik pada isu masa kini. Pembaca juga tentu sudah mendengar banyak kisah yang boleh dikaitkan dengan ciapan Zam. Kita tidak mahu menokok-tambah cerita. Hanya mengeruhkan keadaan.
Kita tak patut menjadi pawang atau ahli nujum. Soal pergeseran ini, kita doakan dijauhi Allah. Kita tidak mahu ketidakstabilan politik menjadikan rakyat kepenatan dan letih dalam melihat gelagat atmosfera politik negara.
Kita juga tidak mahu menjadi tukang tilik. Meramalkan yang bukan-bukan mengenai perhubungan Dr Mahathir dan Anwar bukan keperluan pada detik kita melaungkan pembaharuan Malaysia.
Menilik ini dosa besar. Nabi dah pesan: Menilik walaupun benar adalah dusta yang besar.
Cuma dalam kes kebimbangan awam mengenai isyarat wujudnya krisis Dr Mahathir dan Anwar, ia hakikat yang menakutkan. Lebih seram daripada terserempak hantu. Kerajaan PH baru dibina. Masih banyak cabaran selepas rakyat memberikan mandat pada 9 Mei lalu.
Dalam mandat itu sah, betapa rakyat percaya dengan janji-janji PH. Bukan saja janji ekonomi dan pembersihan kleptokrasi, tapi rakyat mengundi PH kerana ada jaminan Dr Mahathir dan Anwar bersatu demi rakyat. Rakyat percaya, masa lalu dan sejarah panjang sejak 20 tahun lalu, sudah dilupakan.
Sebagai wartawan, kita dapat merasakan yang kita seperti ternampak hantu. Rakyat jadi sangat tidak tenteram.
Isyarat
Apa akan jadi pada rakyat dan negara kalau krisis ini tidak dikawal? Jangan tolak ciapan Zam sebagai murahan. Jangan abaikan sindiran Kadir. Kita kenal Zam. Walaupun bukan best friend. Kita tahu apabila Zam menciapkan isu itu, dia punya asas untuk menghantar isyarat secara terbuka.
Hentikan politik thriller. Jangan letak rakyat dalam suasana tersihir keseraman. Kita baru lepas PRU. Kita kena hormati prinsip demokrasi. Kena berpegang pada amanat rakyat. Rakyat dah buat keputusan melalui peti undi. PH menang 122 kerusi dan berhak memerintah. Malah, dah perintah pun.
Jangan bawa filem seram. Jangan gigilkan rakyat. Negara bangsa harus terus ke depan. Dr Mahathir dan Anwar sudah ada perjanjian. Kita pun tak tahu apa jenis perjanjiannya. Tapi kita maklum perjanjian itu demi kebaikan rakyat. Maka, peganglah janji itu. Sebab persefahaman anda berdua, antara janji yang menyebabkan rakyat memilih PH.
Muslihat politik boleh dibaca. Rakyat zaman sekarang tidak melihat politik seperti era patung di balik kelir wayang kulit. Hanya nampak bayang-bayang. Era sekarang, semuanya serba digital dan berdefinisi tinggi. Jadi, hantu yang kabur pun, rakyat boleh nampak dengan jelas.
Kepada semua pihak, dengarlah suara rakyat. Sekarang rakyat mahu maju ke hadapan. Di atas sejadah pun, rakyat berdoa soal masa depan negara. Itu tanda betapa rakyat kasih akan tanah air ini.
Jadi, hentikan segera semua filem seram ini. Kesan ketakutan ini akan menjejaskan fokus rakyat.
Mengugah emosi rakyat. Malah, rasa seram juga akan mengganggu pelabur, menggangu ekonomi dan mengganggu komitmen positif agensi penarafan.
Ingat! Seluruh dunia mudah merasa seram. Sebab kita memang kerap mencipta filem seram yang menakutkan.
Nauzubillah. Jauhilah Malaysia daripada kerosakan akibat kesan perpecahan yang tidak berpenghujung!
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan